“UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI”
3 Okt 2022 - LENSA IPT Berita RTM telah menjemput YBrs Prof.Madya Dr Jasronita binti Jasni, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dalam program Lensa IPT segmen Vitamin Minda edisi 23 Sept 2022. Tajuk yang dikongsikan adalah “ukur baju di badan sendiri” merupakan salah satu peribahasa Melayu yang sering digunakan bagi menasihati seseorang individu secara langsung atau tidak langsung. Peribahasa melayu ini memang puitis serta mendalam maksudnya.
Tambah YBrs Prof . Madya Dr Jasronita Binti Jasni lagi, "menurut Dewan Bahasa & Pustaka, ianya mengambarkan bahawa setiap perkara serta pekerjaan yang ingin dilakukan harus selaras dengan kebolehan diri kita masing-masing. Selain itu, peribahasa ini turut boleh diterjemah dalam konsep perbelanjaan iaitu, haruslah kita berbelanja dalam sesuatu perkara mengikut serta berpatutan dengan kemampuan diri sendiri".
Beliau membawa penonton mendalami maksud ‘ukur baju di badan sendiri’ dalam konteks pengurusan kewangan peribadi dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi insitut pengajian tinggi (IPT). Umum sedia maklum bahawa tidak lama lagi, setiap IPT di Malaysia bakal menerima pelajar diploma serta ijazah yang baharu buat sesi 2022/2023. Golongan mahasiswa memerlukan wang bagi menampung kos pengajian dan sara hidup mereka yang semakin meningkat pada masa kini. Antara kos yang perlu ditanggung oleh mereka ialah tempat tinggal, pengangkutan, pakaian, buku, makanan dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, amatlah penting bagi mahasiswa untuk memantau corak perbelanjaan mereka supaya tidaktimbul pembaziran dan timbul tabiat berhutang. Sering kali tular di laman sosial berkenaan ceritera yang memberikan tauladan buat kita semua berkaitan gaya hidup segelintir golongan mahasiswa yang berbelanja mewah ibarat tidak mengukur baju mengikut badan mereka sendiri. Ada yang sanggup berlapar kerana telah menghabiskan duit elaun semester untuk membeli telefon bimbit mewah agar dirinya setaraf dengan rakan sekeliling. Ada pula yang berbelanja mewah dalam pakaian, kasut serta aksesori yang berjenama bagi menampakkan diri mereka mengikut arus trend semasa. Amalan sebegini akan meningkatkan lagi risiko mahasiswa tersebut untuk terlibat dalam pembaziran serta tabiat berhutang. Oleh hal yang demikian, amatlah penting untuk golongan mahasiswa malahan penonton sekalian untuk cakna akan pengurusan kewangan serta perbelanjaan yang bijak.
Beliau juga turut berkongsi tips mudah menguruskan kewangan dengan bijak dalam kalangan mahasiswa sekalian. Salah satunya ialah mahasiswa boleh menyediakan bajet mingguan atau bulanan yang merangkumi aspek perbelanjaan seperti makanan, minuman, keperluan pembelajaran dan perbelanjaan lain. Dengan ini, mereka dapat membuat perbandingan antara jumlah anggaran dan jumlah perbelanjaan sebenar. Seterusnya, mahasiwa boleh membuat senarai barang sebelum membeli barangan keperluan. Melalui ini, mereka dapat mengubah gaya berbelanja dan dapat membezakan di antara kehendak serta keperluan mereka. Ini secara tidak langsung, dapat memastikan mahasiswa berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka.
Akhir sekali, amalan menabung haruslah diterapkan dan diamalkan dalam kalangan mahasiswa. Hal ini demikian, wang yang disimpan dapat digunakan bagi masa akan datang bagi perbelanjaan yang lain seperti kes-kes kecemasan. Sebelum mengakhiri bicara beliau, besarlah harapan beliau agar semua penonton sekalian terutamanya golongan mahasiswa yang mendengar slot Vitamin Minda, semakin sedar dan cakna akan pengurusan kewangan yang baik dan mula mengukur baju di badan sendiri. Beliau turut mengingatkan, usahlah dipegang omongan seperti “Biar papa asal bergaya” yang jelas sekali memberi impak buruk kepada diri sendiri. Amalkan hidup dalam kesederhanaan, ubah cara gaya hidup dan jadikan amalan pengurusan kewangan yang bijak sebagai budaya hidup sebagai mahasiswa.


Tarikh Input: 08/10/2022 | Kemaskini: 08/10/2022 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia