AKTIVITI REWANG BUBUR LAMBUK DAN IFTAR PERDANA SEMPENA PROGRAM AHLAN WASAHLAN RAMADAN (AWRA)
Disediakan oleh: Naja Nur Adzni binti Hamdan
23 Mac 2025, Serdang – Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Aktiviti Rewang Bubur Lambuk dan Iftar Perdana sempena Program Ahlan Wasahlan Ramadan (AWRA) pada 23 Mac 2025. Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, UPM telah menyaksikan kehangatan semangat kebersamaan apabila warga kolej bersatu dalam Rewang Bubur Lambuk, sebuah tradisi bermakna yang menjadi simbol perpaduan dan kasih sayang di bulan Ramadan. Barisan Felo, staf pengurusan, dan para pelajar termasuk barisan Majlis Perwakilan Kolej KTMB telah berganding bahu, menghulurkan tangan dalam suasana penuh harmoni, membuktikan bahawa semangat gotong-royong masih utuh dalam jiwa generasi kini. Aroma rempah yang mendidih di dalam kawah besar bukan sekadar membangkitkan selera, tetapi turut menyemarakkan rasa ukhuwah yang kian erat dalam kalangan peserta yang terlibat.

Gambar 1: Penyediaan bahan-bahan memasak bubur lambuk
Seawal jam 9.30 pagi, kolej ini telah dihidupkan dengan deruan suara dan gelak tawa para peserta yang penuh semangat menyingsing lengan, menyusun bahan-bahan, mengacau bubur di dalam periuk, dan memastikan setiap ramuan sebati dalam adunan kasih sayang. Setiap hirisan bawang dan setiap sendukan santan membawa makna mendalam – bukan hanya sekadar memasak, tetapi juga menyatukan hati dan jiwa dalam satu tujuan yang sama. Tidak kira latar belakang atau pangkat; semua turun padang dengan satu matlamat: berkongsi nikmat dan menggandakan keberkatan.

Gambar 2: Rewang memasak bubur lambuk bersama barisan staf, MPK dan pelajar KTMB

Gambar 3: Pembungkusan bubur lambuk yang telah dimasak untuk edaran kepada pelajar KTMB
Lebih daripada sekadar hidangan, bubur lambuk yang siap dimasak menjadi lambang kebersamaan dan keikhlasan yang melangkaui batas. Bermula jam 6.45 petang, edaran bubur lambuk dan juadah iftar telah diedarkan secara percuma kepada pelajar-pelajar KTMB yang turut dihadiri oleh Puan Norlida Zamberi, selaku Penolong Pendaftar Kanan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dalam menyantuni pelajar.

Gambar 4: Pengedaran bubur lambuk kepada pelajar disertai Puan Norlida Zamberi, Penolong Pendaftar Kanan KTMB

Gambar 5: Iftar bersama para pelajar di Dataran KTMB
Setiap bekas yang diagihkan bukan sekadar juadah berbuka puasa, tetapi juga titipan kasih yang menyentuh hati, membawa senyuman dan kegembiraan kepada penghuni kolej serta komuniti sekitar. Inilah semangat Ramadan yang sebenar – memberi tanpa mengharap balasan, menyebarkan kebaikan tanpa mengenal batas, dan merapatkan ukhuwah dalam keindahan sebuah kebersamaan.
Pengarah program, Saudari Naja Nur Adzni binti Hamdan berkata, “Penganjuran aktiviti ini membawa seribu satu makna yang tidak ternilai dalam mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kolej dan memupuk semangat kebersamaan sesama kita terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini.”
Jutaan ucapan terima kasih diucapkan kepada para peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Aktiviti Rewang Bubur Lambuk dan Iftar Perdana sempena Program Ahlan Wasahlan Ramadan (AWRA) bagi sesi kali ini. Diharapkan, aktiviti tahunan ini dapat diteruskan lagi bagi memberi manfaat kepada semua pelajar dan warga Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.
Tarikh Input: 14/04/2025 | Kemaskini: 14/04/2025 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia