Disediakan oleh: Aida Nurhazirah binti Che Zahari
Serdang, 18 Januari 2026 – Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, sesi 2025/2026 telah menganjurkan program Putra Wizarding Bee 4.0; The Word Arena bertempat di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini merupakan sebuah program anjuran Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2025/2026, Universiti Putra Malaysia. Program ini bertujuan untuk menguji penguasaan kosa kata dan ejaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar universiti. Selain itu, pertandingan ini diwujudkan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang memiliki semangat kompetitif dalam diri yang sihat serta berdaya saing dalam pertandingan. Seramai 27 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah hadir untuk menyertai program ini.
Kami berbesar hati untuk menerima Puan Nor Hafizah Binti Anwardeen, Puan Sarah Syazana Binti Baharuddin, dan Puan Bazilah Binti Bahaldin dari Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), UPM sebagai juri bagi program kami. Sebagai pendidik berpengalaman di Universiti Putra Malaysia (UPM), mereka membawa kepakaran luas dalam pendidikan bahasa Inggeris, pengucapan awam, dan komunikasi profesional. Puan Nor Hafizah, dengan pengalaman lebih 15 tahun, memberi tumpuan kepada ESL, pembangunan kurikulum, dan penglibatan pelajar manakala Puan Sarah Syazana, beliau adalah seorang jurulatih bertauliah dan terlibat secara aktif dalam pembangunan kurikulum dan latihan profesional. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Universiti Putra Malaysia. Puan Bazilah, beliau mengajar di kedua-dua peringkat sarjana muda dan pascasiswazah, berkhidmat sebagai pemeriksa MUET, dan merupakan hakim berpengalaman untuk pelbagai pertandingan pidato dan ejaan. Dedikasi dan komitmen mereka dalam dunia pendidikan menjadikan mereka aset yang sangat berharga bagi program ini.
Program dimulakan pada 8.30 pagi dengan pendaftaran peserta secara fizikal di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Suasana awal program berjalan dengan teratur apabila para peserta mengambil tempat masing-masing sementara menunggu program bermula. Pada 9.00 pagi, Putra Wizarding Bee 4.0; The Word Arena diteruskan dengan sesi taklimat. Taklimat ini bertujuan untuk menerangkan peraturan pertandingan, dan sistem pemarkahan yang perlu dipatuhi sepanjang program berlangsung. Sesi ini memastikan semua peserta memahami perjalanan pertandingan dengan jelas sebelum memasuki fasa saringan.
Seterusnya, pertandingan peringkat saringan bermula pada jam 9.30 pagi, melibatkan semua peserta yang bertanding untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Pertandingan peringkat ini mempunyai tiga kumpulan. Semua peserta perlu mengeja setiap perkataan yang diberikan oleh panel juri. Dengan ini, empat peserta yang terbaik dengan markah tertinggi dari setiap kumpulan akan terpilih ke pusingan suku akhir. Selepas keputusan diperoleh, nama peserta yang berjaya mara ke peringkat seterusnya telah diumumkan.

Gambar 1: Pendaftaran para peserta secara fizikal di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee

Gambar 2: Pertandingan peringkat saringan di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee
Pada 11.30 pagi, pertandingan diteruskan dengan pertandingan pusingan suku akhir. Dalam peringkat pertandingan ini, peserta dikehendaki untuk menulis kosa kata di atas kertas yang diberikan oleh panel juri. Selain itu, peserta juga perlu menyusun ejaan kosa kata dalam susunan yang betul. Dalam peringkat ini hanya lapan peserta yang mendapat markah yang tertinggi akan meneruskan pertandingan ke peringkat yang seterusnya.

Gambar 3: Pertandingan Peringkat Suku Terakhir Putra Wizarding Bee 4.0; The Word Arena
Pada jam 2.00 petang, pertandingan diteruskan dengan pertandingan pusingan akhir yang melibatkan lapan orang peserta yang terbaik. Pada pusingan ini, peserta wajib tekan buzzer dan peserta yang paling pantas menekan buzzer akan diberi peluang untuk menjawab. Para peserta perlu melangkah ke hadapan untuk mengeja perkataan. Setelah selesai pusingan akhir yang mendebarkan, tiga peserta yang terbaik telah dinobatkan sebagai pemenang Putra Wizarding Bee 4.0; The Word Arena.

Gambar 4: Pertandingan Pusingan Akhir Putra Wizarding Bee 4.0; The Word Arena
Majlis penutup bermula pada jam 3.10 petang dengan menonton montaj video. Selepas itu, acara diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program Putra Wizarding Bee 4.0; The Word Arena dan disusuli dengan ucapan daripada Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Selepas itu, sesi penyampaian cenderahati kepada barisan juri dan hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas kerjasama mereka dalam menjayakan program ini. Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama peserta, pemenang dan ahli jawatankuasa.

Gambar 5: Sesi bergambar bersama dengan pengetua, pemenang dan ahli jawatankuasa program
Program ini juga diadakan bertujuan untuk memupuk keyakinan diri, kemahiran berfikir pantas serta kemampuan berkomunikasi secara efektif. Melalui program ini, pelajar dapat meningkatkan lagi tahap kompetensi mereka dalam Bahasa Inggeris yang dilihat mampu membantu mereka pada masa depan. Ia juga bertujuan memberikan impak positif kepada para peserta dalam penguasaan kosa kata Bahasa Inggeris dan dapat memanfaatkan kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia