Disediakan oleh: Eng Qi
23 November 2025, Serdang - Sekretariat Pendigitalan dan Komunikasi Korporat, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah berjaya menganjurkan program D.I.Y Canva: Level Up! pada 23 November 2025 (Ahad). Program ini telah diadakan secara fizikal bertempat di Bilik Tutorial 13 dan 14, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, dengan penyertaan seramai 50 orang pelajar UPM.
Program ini bertujuan untuk membantu para pelajar mengasah kemahiran menggunakan aplikasi Canva dan rekabentuk poster yang menarik, serta mengasah bakat yang inovatif dan kreatif. Taklimat ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Puan ‘Aina Fariha binti Mohamad Hussaini yang merupakan pereka grafik bebas di FAA Design Studio. Sepanjang program ini berlangsung, beliau telah berkongsi teknik penggunaan Canva yang lebih mendalam, efektif dan kreatif termasuk perkongsian tentang teknik Canva terkini yang mengintegrasikan elemen gambar grafik multimedia serta perkongsian tentang tips untuk meningkatkan kualiti penghasilan poster bagi kegunaan pembelajaran dan pelbagai.

Gambar 1: Ketibaan dan pendaftaran peserta program D.I.Y Canva: Level Up!
Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan pendaftaran para peserta serta sarapan pagi yang disediakan oleh pihak penganjur. Selanjutnya, program diteruskan dengan sesi pengenalan penceramah jemputan iaitu Puan ‘Aina Fariha yang dapat membantu para peserta untuk mengenali beliau dengan lebih mendalam lagi. Pada jam 10.00 pagi, slot bengkel iaitu Hidden Canva Features bermula untuk mendedahkan peserta tentang ciri tambahan Canva yang jarang diketahui oleh pengguna biasa. Melalui program ini, peserta dapat belajar tentang pemilihan font yang sesuai seperti Serif untuk formal dan Sans Serif untuk moden, sesuai dengan tujuan dan objektif poster yang ingin dicipta.

Gambar 2: Penceramah (Puan ‘Aina Fariha) memperkenalkan latar belakang beliau dalam bidang reka bentuk dengan peserta.
Dalam sesi perkongsiannya, Puan ‘Aina Fariha telah berkongsi teknik lain termasuk gradien warna dan corak minimalist, serta tip praktikal Canva seperti penggunaan "Magic Resize" untuk ubah saiz elemen secara pantas, penggunaan grid dalam poster untuk susunan elemen poster yang seimbang, dan pemilihan gabungan warna yang sesuai menggunakan aplikasi roda warna. Sepanjang sesi bengkel berlangsung, Puan ‘Aina Fariha terus memberi pendedahan berguna untuk penghasilan reka bentuk poster dan infografik yang lebih profesional dan menarik.

Gambar 3: Aktiviti interaktif semasa program iaitu pembuatan poster dengan tema bebas.
Sesi perkongsian ini turut diserikan dengan aktiviti interaktif apabila peserta menghasilkan poster mengikut kreativiti masing-masing bagi mengaplikasikan teknik yang dipelajari, dengan bimbingan individu oleh penceramah sehingga terhasil pelbagai rekaan menarik seperti poster, infografik dan bahan promosi. Program kemudiannya diakhiri dengan sesi penghargaan dan penyampaian cenderahati kepada penceramah oleh Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Prof. Madya Dr. Nurul Hayah binti Khairuddin, diiringi pengarah program, kemudian diikuti dengan sesi fotografi sebagai kenangan bersama para peserta.

Gambar 4: Sesi penghargaan dan pemberian cenderahati kepada penceramah jemputan. (Dari kiri: pengarah program: Saudari Aina Balqis binti Mat Jais, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee: Prof. Madya Dr. Nurul Hayah binti Khairuddin, dan penceramah jemputan: Puan ‘Aina Fariha binti Mohamad Hussaini)
Melalui perkongsian ilmu yang diberikan, peserta diharap dapat menguasai kemahiran penggunaan aplikasi Canva serta membentuk kreativiti pelajar yang lebih kukuh untuk masa hadapan. Diharapkan program ini menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi pelajar yang bijak dalam penghasilan kandungan visual, seterusnya memberi impak positif kepada komuniti kampus dan masyarakat sejagat.

Gambar 5: Sesi fotografi barisan tetamu kehormat bersama dengan para peserta program D.I.Y Canva: Level Up!
Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia