Oleh: Siti Usaimah binti Masduki
Serdang, 5 April 2026 – Program EksploBiz berjaya mencuri perhatian warga Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee apabila menggabungkan konsep explorace keusahawanan dengan aktiviti jualan yang menarik, sekali gus menghidupkan suasana kampus dengan kehadiran ratusan pelajar.
Program anjuran Sekretariat Keusahawanan, Majlis Perwakilan Kolej sesi 2025/2026 ini melibatkan seramai 35 orang peserta dan disokong oleh 47 ahli jawatankuasa pelaksana. Menyasarkan lebih 80 orang pelajar kolej, program ini turut berjaya menarik lebih 400 pelajar sebagai penyokong vendor jualan, manakala majlis penutup pula dihadiri lebih 200 pelajar.
EksploBiz menampilkan konsep explorace berteraskan keusahawanan yang mencabar peserta melalui pelbagai checkpoint interaktif. Setiap tugasan memerlukan peserta menggunakan kemahiran komunikasi, kreativiti serta kebolehan membuat keputusan secara pantas dalam situasi simulasi perniagaan. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman praktikal, malah membantu peserta memahami realiti dunia keusahawanan dengan lebih mendalam.
Menariknya, penganjuran booth jualan oleh usahawan siswa menjadi tarikan utama sepanjang program berlangsung. Kehadiran ratusan pelajar yang membanjiri gerai jualan membuktikan minat yang tinggi terhadap aktiviti keusahawanan dalam kalangan mahasiswa. Suasana ini secara tidak langsung memberi peluang kepada vendor untuk mempraktikkan strategi pemasaran dan interaksi pelanggan secara langsung.
Menurut Pengarah Program, Siti Usaimah binti Masduki, EksploBiz dirangka sebagai platform pembangunan kemahiran insaniah dan keusahawanan pelajar. “Program ini bukan sekadar explorace biasa, tetapi medium untuk mencetuskan kreativiti, mengasah bakat keusahawanan serta membina daya ketahanan diri dalam kalangan pelajar,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif yang selari dengan aspirasi melahirkan graduan holistik. “Program ini bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan pengetahuan akademik, malah membantu mereka memahami dunia keusahawanan melalui pengalaman sebenar,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, EksploBiz berjaya mencapai objektifnya dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, kreatif dan berfikiran keusahawanan. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.

Gambar 1: Ahli Jawatankuasa bersama pengarah dan felo pemantau program

Gambar 2: Sesi pendaftaran peserta bagi program EksploBiz

Gambar 3: Sesi pemberian taklimat kepada peserta berkenaan checkpoint EksploBiz

Gambar 4: Aktiviti peserta di Checkpoint 6 Profit Calculation bertempat di Blok D

Gambar 5: Vendor-vendor aneka jualan sempena program EksploBiz
Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia