F.I.O.N.A Dengue! | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » F.I.O.N.A Dengue!

F.I.O.N.A Dengue!

Oleh : Syazwina Rhyme

SERDANG, 23 November 2024 - Sekretariat Kediaman dan Kebajikan (SKNK), Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan Program Fight Infection, Observe, Notify, Act (F.I.O.N.A) Dengue! di Sekitar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 20 dan 23 November 2024 dengan penyertaan seramai 527 orang pelajar kolej KTMB serta sokongan daripada Pihak Pengurusan Kolej dan Kesatuan Mahasiswa. Penyertaan telah dibahagi kepada 497 orang peserta dan 30 orang ahli jawatankuasa pelaksana.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang pencegahan denggi serta melaksanakan gotong-royong membersihkan kawasan kolej bagi mengurangkan risiko pembiakan nyamuk Aedes. Aktiviti ini juga selaras dengan objektif mewujudkan persekitaran kolej yang bersih dan selamat, di samping memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa.

Pengarah program, Pelajar tahun dua Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dengan kepujian, Siti Nur Syazwina Binti Rhyme, menyatakan, “F.I.O.N.A Dengue! bukan sekadar program kebersihan, tetapi satu usaha untuk mendidik dan menyatukan komuniti kolej untuk bersama-sama menjaga persekitaran dan mencegah penyakit bawaan vektor seperti nyamuk aedes.”

Pada hari pertama, sesi ceramah bertajuk “Fight the Bite!” telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Rahmat Bin Dapari dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. Menurut beliau, “Ceramah ini adalah satu langkah cemerlang yang memberi peluang kepada pelajar untuk memahami langkah-langkah proaktif yang boleh diambil bagi mencegah denggi, sekali gus melindungi komuniti kolej,”.

Penceramah jemputan, Prof. Madya Dr. Rahmat Bin Dapari sedang menyampaikan perkongsian mengenai Denggi

Sesi fotografi beramai-ramai pada sesi akhir program bagi hari pertama

Seterusnya, Hari kedua program telah dijalankan dengan aktiviti senamrobik diikuti dengan gotong-royong melibatkan pelajar, staf pengurusan, dan felo kolej. Para peserta telah dibahagikan kepada kumpulan untuk membersihkan kawasan kolej seperti kolej, surau, kafe dan padang yang mempunyai kawasan-kawasan berisiko tinggi untuk pembiakan jentik-jentik.

Sesi senamrobik bersama peserta sebelum gotong-royong dijalankan

Sementara itu, beberapa peserta turut menyuarakan pandangan positif terhadap program gotong-royong ini. “Saya rasa program ini sangat bermakna. Selain membersihkan kolej, kami juga dapat belajar betapa pentingnya kebersihan dalam mencegah denggi dan berkenalan dengan leboh ramai rakan baru.,” kata Dhanisha, salah seorang peserta gotong-royong F.I.O.N.A Dengue!.

Sesi gotong-royong di sekitar kawasan kolej yang melibatkan kaum yang berlainan sedang dijalankan

Diharapkan melalui program ini, kesedaran tentang bahaya denggi dapat ditingkatkan dan langkah-langkah pencegahan dapat diamalkan untuk kesejahteraan semua. Program ini juga diharapkan dapat meningkatkan rasa prihatin terhadap persekitaran dan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan matlamat pembangunan lestari (SDG) yang menekankan kesihatan, kebersihan, dan kesejahteraan komuniti.

Selain itu, pihak kolej berharap agar usaha seperti ini dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada kolej-kolej lain untuk mengambil langkah serupa dalam menangani isu-isu kesihatan awam. Dengan penglibatan aktif pelajar, staf, dan felo, adalah diyakini bahawa semangat kerjasama yang ditunjukkan mampu membawa kesan positif bukan sahaja kepada kolej tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Semoga program ini dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif murni yang menyumbang kepada pembangunan mahasiswa dan kesejahteraan komuniti UPM.

Tarikh Input: 12/12/2024 | Kemaskini: 12/12/2024 | adib

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (09:35:13pm-09:40:13pm, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]