Oleh: Ahmad Haziq Luqman bin Halim
SERDANG, 20 Disember 2024 – Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan program Green Initiative: Trash to Treasure 1.0 di Stor bersebelahan Dobi Blok D, KMB. Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Disember 2024 dengan penyertaan seramai 539 orang pelajar kolej KMB dan seorang pelajar UPM serta sokongan daripada Pihak Pengurusan Kolej dan Kesatuan Mahasiswa. Penyertaan telah dibahagi kepada 513 orang peserta dan 27 orang ahli jawatankuasa pelaksana.
Program ini memberikan peluang kepada pelajar bagi melibatkan diri dalam aktiviti amalan hijau dan menjadi pelopor kepada masa hadapan yang lebih hijau. Program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kitar semula dalam diri pelajar sambil menyumbang kepada ekonomi, kebersihan dan keceriaan alam sekitar.
Pengarah program, pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Dietetik dengan Kepujian, Ahmad Haziq Luqman bin Halim berkata, “Green Initiative: Trash to Treasure 1.0 dapat memberikan impak yang tinggi terhadap kelestarian alam sekitar melalui aktiviti kitar semula. Selain itu, program ini juga dapat memupuk nilai murni dalam diri pelajar dan meningkatkan semangat kerjasama antara pelajar”.
Pada hari pertama, program ini telah dijalankan untuk pelajar blok A dan B, KMB serta pelajar UPM. Program ini telah mendapat sambutan yang tinggi dari kolej lain di UPM dan pelajar kolej KMB pada hari pertama dengan penyertaan seramai 242 orang pelajar KMB. Barangan kitar semula yang dibawa akan diletakkan ke dalam stor untuk proses pelupusan pada masa hadapan.

Sesi fotografi beramai-ramai pada sesi akhir program bagi hari pertama

Sesi pengiraan barangan kitar semula di sekitar kawasan stor blok D bagi hari pertama
Pada hari kedua, program ini dijalankan untuk pelajar blok C dan D, KMB serta pelajar UPM. Program ini telah mendapat sambutan seramai 270 orang pelajar KMB dan seorang pelajar UPM. Kebanyakkan peserta yang menghadiri program ini membawa barangan kitar semula seperi botol air mineral, kotak, kertas dan sebagainya.

Sesi pengemasan stor bagi barangan kitar semula
Sementara itu, beberapa peserta turut menyuarakan pandangan positif terhadap program kitar semula ini. “Program ini membenarkan kami untuk memanfaatkan barangan yang tidak dipakai untuk dijadikan bahan kitar semula. Selain itu, kami juga dapat membersihkan dan menceriakan kawasan kolej selepas menghadiri program tersebut.,” kata Aiman, salah seorang peserta Green Initiative: Trash to Treasure 1.0.

Sesi pengiraan barangan kitar semula di sekitar kawasan stor blok D bagi hari kedua

Sesi fotografi beramai-ramai pada sesi akhir program bagi hari kedua
Diharapkan melalui program ini, kesedaran amalan kitar semula dapat dipupuk dalam diri pelajar disamping membentuk peribadi pelajar yang mencintai alam sekitar. Program ini juga berharap dapat meningkatkan rasa prihatin terhadap alam sekitar, kebersihan komuniti dan kerjasama antara pasukan. Semoga program ini dapat menjadi titik permulaan untuk kewujudan inisiatif lain bagi memupuk amalan kitar semula dalam golongan mahasiswa yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan UPM.
Tarikh Input: 24/12/2024 | Kemaskini: 24/12/2024 | adib

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia