Imarah Al-Syabab Perkasa Rohani Mahasiswa KTMB | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » Imarah Al-Syabab Perkasa Rohani Mahasiswa KTMB

Imarah Al-Syabab Perkasa Rohani Mahasiswa KTMB

Imarah Al-Syabab Perkasa Rohani Mahasiswa KTMB

Disediakan oleh: Naja Nur Adzni binti Hamdan

Serdang, 4 Julai 2025 - Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Imarah Al-Syabab yang berlangsung dari 10 November 2024 hingga 26 Jun 2025 bertempat di Surau Khulafa’ Ar-Rasyidin, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia. Program ini bertujuan untuk memperkukuh nilai kerohanian dalam kalangan mahasiswa melalui pelbagai aktiviti yang berteraskan agama Islam. Sepanjang tempoh pelaksanaan, pelajar didedahkan dengan aktiviti kerohanian secara berterusan yang bukan sahaja menambah ilmu, bahkan memupuk sahsiah unggul berlandaskan keimanan.

Aktiviti gotong-royong perdana membersihkan kawasan Surau Khulafa’ Ar-Rasyidin

Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuk bacaan surah Yasin, al-Kahfi dan al-Mulk setiap minggu, kuliah mingguan serta solat hajat perdana menjelang peperiksaan semester. Selain itu, program ini turut menampilkan aktiviti seperti Kursus Induksi Syababul Musolla dan gotong-royong perdana surau. Semua aktiviti ini berjaya menarik penglibatan lebih 100 orang pelajar pada setiap sesi, sekaligus mencerminkan komitmen tinggi dalam kalangan pelajar terhadap pembangunan rohani dan kebersamaan komuniti kolej.

Bacaan Yasin dan Kahfi di Surau Khulafa’ Ar-Rasyidin

Solat hajat perdana sempena peperiksaan akhir semester 1

Pengarah program, Saudari Naja Nur Adzni binti Hamdan berkata, beliau berharap bahawa program ini dapat menggalakkan mahasiswa Muslim untuk terus aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan, sekali gus menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan kekuatan spiritual. Program ini juga memberi ruang kepada pelajar untuk memahami dan menganalisis isu semasa dari perspektif Islam, selain memperkukuh ukhuwah dan budaya ilmu melalui perbincangan ilmiah dan pengisian yang bermanfaat. Imarah Al-Syabab turut memberi impak besar kepada universiti dalam membentuk suasana kampus yang memartabatkan nilai-nilai Islam serta memperkukuh daya saing pelajar sebagai individu berprinsip dan berketrampilan. Dari sudut masyarakat, program ini menyumbang kepada pembentukan generasi yang seimbang antara pencapaian duniawi dan ukhrawi serta cinta akan agama dan negara.

Aktiviti berkumpulan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam bagi program Inspire Rabbani

Keseluruhannya, Imarah Al-Syabab berjaya menjadi platform yang signifikan dalam membina pelajar berakhlak mulia, berilmu, dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa dan seharusnya diteruskan di sesi akan datang. Melalui penglibatan aktif dan sokongan penuh pihak kolej, program ini telah mencapai matlamatnya dalam menyemarakkan semangat keislaman dalam kalangan mahasiswa KTMB.

Majlis Tahlil Perdana bagi mangsa kemalangan bas UPSI

 

Tarikh Input: 04/07/2025 | Kemaskini: 04/07/2025 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (10:21:41pm-10:26:41pm, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]