Disediakan oleh: Nur Athirah binti Mohd Noh
Serdang, 24 Januari 2026 - Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Program JIWA PUTRA@KTMB: JALINAN NURANI bertempat di Rumah Seri Kenangan, Cheras, Selangor. Program ini telah disertai seramai 37 orang pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM yang terlibat secara aktif dalam menjayakan setiap aktiviti.
Aktiviti 1: Sesi Mesra Kasih
Program ini dimulakan dengan pergerakan peserta dari kampus ke RSK Cheras sebelum diteruskan dengan sesi ketibaan, senaman ringan dan sarapan bersama warga emas. Suasana mesra yang terjalin sejak awal program telah mewujudkan interaksi positif antara peserta dan penghuni RSK, sekali gus membuka ruang komunikasi yang lebih dekat dan bermakna. Aktiviti pertama bermula dengan sesi ramah mesra yang diserikan dengan pelbagai aktiviti permainan santai seperti board game, memory game dan aktiviti kraf tangan (DIY Craft).
Melalui aktiviti pembukaan ini, peserta dan ahli jawatankuasa dapat berkomunikasi secara lebih dekat dan meluangkan masa berkualiti dengan penghuni. Sesi perbualan dan pertukaran cerita turut membuka minda para pelajar untuk lebih memahami perasaan dan keperluan golongan warga emas. Walaupun ringkas, perhatian dan komunikasi yang diberikan memberi makna yang sangat besar kepada mereka serta berjaya mencungkil kreativiti peserta.
Gambar 1: Sesi mesra kasih bersama penduduk Rumah Seri Kenangan, Cheras

Gambar 2: Sesi mesra kasih bersama penduduk Rumah Seri Kenangan, Cheras
Aktiviti 2: Sesi Gotong-royong
Seterusnya, aktiviti kedua dijalankan dengan fokus kepada fizikal dan persekitaran. Peserta bergotong-royong mengindahkan sekitar kawasan Rumah Seri Kenangan. Inisiatif ini selaras dengan objektif program untuk memberi keselesaan kepada penghuni.
Pengarah program, Saudari Suhvarhna A/P Raguraman berkata, aktiviti kedua ini bukan hanya bertujuan membersihkan kawasan semata-mata, namun ia merupakan salah satu usaha ikhlas pelajar untuk mengukir senyuman dan memahatkan memori indah dalam diri warga emas.
Penglibatan pelajar dalam program ini secara tidak langsung telah memberi pendedahan berkaitan aspek kepimpinan, pengurusan organisasi dan kemahiran insaniah berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Gambar 3: Sesi gotong-royong sekitar Rumah Seri Kenangan, Cheras
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang dan berperanan sebagai medium penyatuan antara universiti dan masyarakat melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

Gambar 4: Sesi fotografi bersama penduduk Rumah Seri Kenangan, Cheras dan ahli jawatankuasa program

Gambar 5: Sesi fotografi bersama ahli jawatankuasa program Jiwa Putra@KTMB: Jalinan Nurani
Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia