Oleh: Dalia Dayana, ssr.mpkktmb.2425@gmail.com
Serdang, 29 November 2024- Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini telah menganjurkan acara ping pong bagi Kejohanan Sukan Kolej Universiti Putra Malaysia (SUKPRA) sesi 2024/2025 pada 25 hingga 28 November 2024 bertempat di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia. Acara ini melibatkan ke semua 9 buah kolej di Universiti Putra Malaysia. Seramai enam orang pelajar dari Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) turut serta dalam acara ping pong iaitu Esther Tiong Hui Liang, Foo Khai Wen, Liu Joan Liz, Ang Yu Yun, The Min Qiao dan Siti Azrina Suraya binti Mohd Azhar. Pasukan ini turut diselia oleh pengurus pasukan yang berdedikasi iaitu Siti Aishah Shakirah binti Shaharuddin.

Atlet dan Pengurus Pasukan Ping Pong Kategori Wanita KTMB
KTMB merasa amat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh para pelajar, yang bukan sahaja menyertai acara ini dengan penuh semangat tetapi juga berjaya mendapat tempat dalam acara ping pong kategori wanita. Pasukan KTMB menunjukkan prestasi cemerlang dalam setiap pusingan perlawanan dan akhirnya melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya mempertahan gelajaran Johan dalam acara ping pong kategori wanita bagi Kejohanan Sukan Kolej Universiti Putra Malaysia (SUKPRA) sesi 2024/2025.
Pencapaian mereka adalah bukti kegigihan dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang persiapan menghadapi acara ini. Kejayaan ini turut diiktiraf oleh pihak pengurusan kolej yang melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas usaha gigih yang ditunjukkan oleh semua peserta. Pihak pengurusan kolej turut berharap agar kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dan menyumbang kepada nama baik kolej. Ucapan terima kasih dan penghargaan juga diberikan kepada semua pelajar yang berusaha meningkatkan penyertaan bagi KTMB serta kepada pasukan sokongan yang terdiri daripada staf dan rakan-rakan pelajar yang hadir memberi sokongan sepanjang acara berlangsung.
Keseluruhannya, acara ping pong ini bukan sahaja menjadi medium pengujian kekuatan fizikal, tetapi juga telah berjaya memperkukuh ikatan antara pelajar serta menanamkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta. Semoga pencapaian ini menjadi motivasi untuk kejayaan yang lebih gemilang dalam kalangan pelajar KTMB pada masa akan datang.

Sesi penyampaian hadiah bagi Acara Ping Pong Kategori Wanita Kejohanan Sukan Kolej UPM (SUKPRA) sesi 2024/2025

Sesi fotografi Bersama atlet Ping Pong Kategori Wanita Kejohanan Sukan Kolej UPM (SUKPRA) sesi 2024/2025
Tarikh Input: 04/12/2024 | Kemaskini: 04/12/2024 | adib

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia