KEM PERKASA SISWA 3.0 | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » KEM PERKASA SISWA 3.0

KEM PERKASA SISWA 3.0

SERDANG, 28 MAC 2023 - Pada 10 hingga 14 Mac 2022 yang lalu, Sekretariat Kepimpinan dan Latihan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 telah mengadakan Kem Perkasa Siswa 3.0 yang bertempat di Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dan Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia. Program telah berlangsung selama seminggu bagi melatih para pelajar untuk mengurus dan mempersiapkan diri dengan latihan sebagai calon Majlis Perwakilan Pelajar.

Kem Perkasa Siswa 3.0 ini merupakan satu program kesinambungan daripada Kem Perkasa Siswa 2.0 sesi lepas. Kem ini diadakan khusus untuk mencari pelapis ahli Majlis Perwakilan Kolej pada sesi hadapan. Kem ini turut menerapkan kemahiran insaniah dalam kalangan peserta kem dan melatih semangat bekerjasama serta memimpin dalam kalangan ahli kumpulan. Melalui kem ini, pelajar juga menjadi lebih berkeyakinan tinggi untuk berkomunikasi dengan lebih baik hasil daripada modul yang disediakan.

Selain itu, kem ini mempunyai objektif untuk mengasah bakat pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dalam berinteraksi dan menyampaikan sesuatu pendedahan dengan cara yang bersesuaian mengikut tahap kefahaman peserta. Seramai 49 orang peserta daripada kalangan pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee telah terlibat secara langsung dalam program ini. Kem yang berlangsung selama lima hari ini telah bermula dengan pendaftaran diikuti dengan modul ice breaking dan modul-modul yang menerapkan ciri kepimpinan yang berkesan. Sepanjang lima hari ini juga aktiviti moral juga telah dijalankan bersama peserta bukan beragama Islam di kem tersebut.

 

Pada hari terakhir, majlis penutup Kem Perkasa Siswa 3.0 telah dilaksanakan seiring dengan Malam Kebudayaan dimana para peserta telah membuat persembahan berdasarkan tema yang diberi dan diikuti dengan penyerahan hadiah sebagai tanda penutup program secara rasmi. Majlis yang turut dihadiri oleh peserta kem, para fasilitator dan barisan felo ini juga telah dihadiri oleh barisan staf serta tetamu kehormat iaitu Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.

Tarikh Input: 31/03/2023 | Kemaskini: 31/03/2023 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
X, (09:20:17pm-09:25:17pm, 04 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]