Kem Perkasa Siswa 6.0 Platform Pembinaan Kepimpinan Mahasiswa KTMB | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE kmb
» BERITA » Kem Perkasa Siswa 6.0 Platform Pembinaan Kepimpinan Mahasiswa KTMB

Kem Perkasa Siswa 6.0 Platform Pembinaan Kepimpinan Mahasiswa KTMB

Disediakan oleh: Neo Yong Qian

Semenyih, 29 Mac 2026 - Majlis Tertinggi, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2025/2026 telah menganjurkan Kem Perkasa Siswa 6.0 pada 27 hingga 29 Mac 2026 bertempat di sekitar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dan AsiaCamp Semenyih. Program ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan mahasiswa yang dilaksanakan bagi melahirkan pelapis kepimpinan kolej di samping memperkukuh jati diri, disiplin, kemahiran komunikasi dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar. Seramai 60 orang pelajar tahun pertama dan tahun kedua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee telah menyertai program ini, manakala 12 orang fasilitator yang terdiri daripada barisan Majlis Perwakilan Kolej bertindak sebagai penggerak utama sepanjang pelaksanaan kem. Pelbagai aktiviti dan modul telah dilaksanakan sepanjang program bagi memastikan pembangunan peserta berlaku secara holistik, merangkumi aspek fizikal, emosi, intelektual dan sosial. Antara pengisian utama yang dijalankan termasuk Malam Bersama Pengetua, Pertandingan Cheers Kumpulan, Modul Kemahiran Komunikasi, Obstacle Course, Talent Night, Water Confidence dan Water Rafting.

Gambar 1: Slot Malam Bersama Pengetua

Modul Kemahiran Komunikasi pula dirangka bagi memperkukuh keyakinan diri peserta dalam menyampaikan idea, berinteraksi dengan berkesan serta membina hubungan yang baik dalam sesebuah kumpulan. Melalui pendekatan interaktif dan latihan secara berkumpulan, peserta didedahkan kepada kepentingan komunikasi yang jelas, kemahiran mendengar secara aktif serta keupayaan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi. Modul ini dilihat amat penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berani bersuara, malah mampu menyampaikan pandangan secara matang, profesional dan berhemah. 

Gambar 2: Modul Kemahiran Berkomunikasi

Selain itu, aktiviti Obstacle Course telah berjaya memupuk semangat setia kawan, daya tahan dan kebersamaan dalam kalangan peserta. Aktiviti berbentuk cabaran ini menuntut peserta untuk saling mempercayai, bekerjasama dan menyelesaikan tugasan secara kolektif. Pada masa yang sama, Talent Night juga memberi peluang kepada peserta untuk belajar pengurusan majlis serta menonjolkan kreativiti, bakat dan keyakinan diri. Melalui modul ini, pelajar diberi peranan sebagai urus setia dan peserta, dikehendaki untuk menganjur dan menguruskan majlis Talent Night bagi memberi pendekatan berkaitan penganjuran program dan pengurusan majlis kepada para pelajar.

Gambar 3: Modul Obstacle Course

Pada hari kedua berada di Asia Camp Semenyih, pelajar berkumpul untuk melakukan aktiviti Water Rafting. Pelajar diberi peluang untuk menghasilkan kayak secara berkumpulan menggunakan bahan-bahan yang dibekalkan dan terlibat dalam pertandingan berkayak antara kumpulan. Aktiviti ini berkesan dalam memupuk kerjasama antara pelajar serta memupuk pelajar untuk berfikir secara kreatif. Di samping itu, pelajar juga didedahkan dengan kemahiran menyelamatkan diri dan Water Confident sekiranya berlaku kecemasan ketika melakukan aktiviti di kawasan sungai, laut dan sebagainya. Aktiviti ini amat penting untuk memastikan pelajar mempunyai ilmu yang mencukupi untuk menyelamatkan diri dalam kecemasan.

Gambar 4: Aktiviti Water Rafting Dan Water Confident

Majlis penutup bagi program ini diadakan di Dewan Utama Asia Camp Semenyih. Menurut pengarah program, saudari Neo Yong Qian, Kem Perkasa Siswa 6.0 diharap dapat menjadi wadah pembangunan mahasiswa yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi. Beliau berkata, “Kem Perkasa Siswa 6.0 bukan sekadar program pengisian pelajar, sebaliknya merupakan platform untuk membentuk jati diri, memupuk nilai kepimpinan dan melahirkan mahasiswa yang berdaya tahan, berdisiplin serta mampu bekerjasama dalam pelbagai situasi. Program seperti ini amat penting dalam usaha menyediakan pelapis kepimpinan kolej yang berkualiti dan berwibawa.” 

 

Gambar 5: Majlis Penutup Kem Perkasa Siswa 6.0

Secara keseluruhannya, program ini telah menerima maklum balas yang amat positif daripada para peserta. Kejayaan program ini jelas membuktikan bahawa pengisian dan modul yang dirancang telah berjaya memenuhi objektif penganjuran serta memberi nilai tambah kepada peserta dari segi kepimpinan, komunikasi dan pembinaan sahsiah.

Secara tuntasnya, Kem Perkasa Siswa 6.0 telah berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform pembangunan mahasiswa yang berkesan dalam mencungkil bakat kepimpinan, memperkukuh disiplin serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Program ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan warga kolej yang lebih berkualiti, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada kecemerlangan kolej serta universiti pada masa hadapan.

Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
X, (10:05:40pm-10:10:40pm, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]