Disediakan oleh: Neo Yong Qian
20 April 2025, Serdang – Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2024/2025, dengan kerjasama Kolej Sri Rajang, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, telah menganjurkan program Kolokium Pembangunan Mahasiswa: Memartabatkan Kesukarelawanan Mahasiswa yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini merupakan program perkongsian mengenai program-program kesukarelawanan yang telah dilaksanakan oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan badan-badan kepimpinan pelajar di Universiti Putra Malaysia. Program ini melibatkan seramai 28 orang peserta dari PTJ dan badan-badan kepimpinan pelajar di UPM serta lebih 200 orang penyokong daripada seluruh warga kampus UPM.
Kami berbesar hati untuk menerima kehadiran barisan juri yang terdiri daripada tokoh akademik berpengalaman dalam bidang masing-masing bagi menilai penyertaan poster dan pembentangan oral dalam program ini. Barisan juri tersebut ialah Dr. Nurwina Akmal binti Anuar, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Inklusif, Pusat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Amir Syahir Amir Hamzah, Timbalan Pengarah, Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CRINET), UPM, Prof. Madya Dr. Muhammad bin Haji Mohd Isa, Ketua Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Dr. Muhammad Syahmi Bin Hishamuddin, Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM dan Prof. Madya Dr. Siti Sarah binti Othman, Pensyarah Jabatan Biologi Sel dan Molekul, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM. Kepakaran mereka telah menyumbang secara signifikan dalam memastikan penilaian dilakukan secara telus dan profesional.
Dr. Nurwina Akmal merupakan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif) di UKM yang aktif dalam pendidikan khas serta pengurusan kesejahteraan pelajar. Prof. Madya Dr. Amir Syahir ialah Timbalan Pengarah CRINET, UPM, dan berperanan sebagai penilai profesional dalam pembangunan penyelidikan dan inovasi teknologi di peringkat nasional. Prof. Madya Dr. Muhammad pula merupakan Ketua Jabatan Oftalmologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, yang menerajui aspek pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan klinikal. Dr. Muhammad Syahmi, Pensyarah Kanan dan Penyelidik Bersekutu di INTROP, UPM, mempunyai pengalaman luas dalam membimbing pelajar pascasiswazah serta menilai kualiti penyelidikan. Seterusnya, Prof. Madya Dr. Siti Sarah ialah Naib Presiden MSMBB dan ahli aktif Jaringan Saintis Muda di bawah ASM yang aktif memperkasa bidang bioteknologi serta pembangunan bakat muda dalam sains. Komitmen dan kepakaran mereka menjadi aset penting dalam menjayakan serta memastikan kelestarian program ini.

Pendaftaran peserta dan penonton di foyer fakulti perubatan
Program Kolokium dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta. Tepat jam 8.30 pagi, majlis diteruskan dengan persembahan pembukaan serta tayangan video ucaptama daripada Pengarah Kampus Bintulu UPM, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini yang menekankan tema “Cultivating a Culture of Volunteerism.”

Pembentangan oral oleh peserta di Dewan Kuliah Utama
Acara diteruskan dengan sesi pembentangan oral oleh wakil-wakil pusat tanggungjawab serta badan kepimpinan mahasiswa dari pelbagai kolej kediaman dan fakulti. Sebelum pembentangan bermula, peserta telah diberikan taklimat berkaitan peraturan dan tatacara sesi pembentangan. Sesi pembentangan oral yang pertama bermula pada jam 9.00 pagi, disusuli oleh sesi kedua pada jam 10.40 pagi, dan sesi ketiga pada jam 2.00 petang. Setiap pembentangan mengetengahkan projek sukarelawan berimpak tinggi yang selari dengan tema seperti kelestarian hijau dan keterjaminan makanan, kemanusiaan, sains dan teknologi termasuk AI, kesihatan awam, terapi haiwan, serta seni dan kebudayaan. Selain memupuk keyakinan diri pelajar, sesi ini turut memberi ruang untuk sesi soal jawab bersama juri profesional dari pelbagai institusi pengajian tinggi.

Pembentangan poster oleh peserta
Serentak dengan pembentangan oral, turut diadakan pameran poster interaktif yang menampilkan infografik menarik berkaitan program-program yang telah dilaksanakan. Pada jam 11.30 pagi, sesi pembentangan dan penjurian poster dijalankan, di mana peserta membentangkan infografik program mereka secara visual. Sesi ini bukan sahaja menjadi medan untuk mengetengahkan kreativiti dalam menyampaikan maklumat, malah memberi peluang kepada peserta untuk menjelaskan program mereka secara lebih interaktif kepada juri dan penonton.

Gimik pelancaran buku prosiding Kolokium Pembangunan Mahasiswa: Memartabatkan Kesukarelawanan Mahasiswa
Majlis penutup rasmi berlangsung pada jam 2.30 petang, dimulakan dengan ucapan Pengarah Program Kolokium Pembangunan Mahasiswa: Memartabatkan Kesukarelawanan Mahasiswa, disusuli dengan ucapan daripada Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Pada jam 3.15 petang, majlis diteruskan dengan gimik pelancaran Buku Prosiding Kolokium Pembangunan Mahasiswa: Memartabatkan Kesukarelawanan Mahasiswa, yang menghimpunkan abstrak-abstrak daripada setiap pembentang. Pelancaran buku ini merupakan simbolik penghargaan terhadap idea serta usaha para peserta yang telah diketengahkan sepanjang kolokium, serta menjadi rujukan bagi program kesukarelawanan pada masa hadapan.
Acara diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada barisan juri, diikuti dengan sesi perkongsian oleh ketua juri, Dr. Nurwina Akmal mengenai program-program yang telah dibentangkan oleh para peserta. Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada para pemenang, serta semua pihak yang terlibat, sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan kerjasama mereka dalam menjayakan program ini. Program diakhiri sekitar jam 6.00 petang dengan sesi fotografi bersama para peserta, pemenang, dan ahli jawatankuasa.

Sesi penyampaian anugerah kepada para pemenang

Sesi fotografi bersama para peserta, juri, pemenang, dan ahli jawatankuasa.
Menurut pengarah program, Neo Yong Qian, "Kolokium ini merupakan satu platform yang amat bermakna bagi memperkasa dan mengangkat peranan mahasiswa dalam bidang kesukarelawanan, bukan sahaja di peringkat tempatan malah juga di peringkat antarabangsa. Kita percaya bahawa kesukarelawanan bukanlah semata-mata aktiviti luar bilik kuliah, tetapi satu proses pembelajaran sepanjang hayat yang membentuk nilai, kepimpinan, empati, dan tanggungjawab sosial". Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya malah meninggalkan kesan positif terhadap para peserta dan penonton.
Tarikh Input: 28/04/2025 | Kemaskini: 28/04/2025 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia