Taklimat Penulisan Berita dan Artikel
Oleh: Syafiqah Sofea Binti Kamar,
Sekretariat Pendigitalan dan Komunikasi Korporat,
Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) sesi 2024/2025
SERDANG, 20 Disember 2024 – Sekretariat Pendigitalan dan Komunikasi Korporat, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan Taklimat Penulisan Berita Dan Artikel di bawah program Komunikasi Dalam Pendigitalan: Penulisan Kreatif di platform Google Meet. Program ini telah berlangsung pada 20 Disember 2024 dengan penyertaan seramai 114 orang pelajar kolej KMB serta sokongan daripada Pihak Pengurusan Kolej dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM. Penyertaan telah dibahagi kepada 114 orang peserta dan 15 orang ahli jawatankuasa pelaksana.
Program ini membantu pelajar untuk mendalami dan mengasah kemahiran mereka dalam bidang penulisan berita dan artikel yang berkualiti. Pelajar diberi peluang untuk memahami asas-asas penulisan berita, termasuk struktur, gaya bahasa, dan teknik pengumpulan maklumat, di samping memperkaya kreativiti dalam menghasilkan berita dan artikel yang menarik. Taklimat ini disampaikan oleh Encik Dasuki bin Sahak, Pustakawan dari Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM, yang berkongsi ilmu dan pengalamannya mengenai dunia penulisan profesional.

Paparan salah satu slaid pembentangan oleh Encik Dasuki semasa taklimat
Dalam sesi ceramahnya, Encik Dasuki menekankan pentingnya memahami struktur penulisan berita dan artikel, termasuk penggunaan bahasa yang jelas, teknik untuk menarik perhatian pembaca, serta etika kewartawanan. Sesi ceramah tersebut turut disusuli dengan aktiviti interaktif bersama peserta, di mana para peserta diberi peluang untuk berkongsi pendapat tentang tajuk yang sesuai ditulis di contoh berita yang ditunjukkan oleh Encik Dasuki. Beliau juga memberi maklum balas langsung terhadap hasil kerja peserta, sekali gus memberi mereka panduan praktikal untuk memperbaiki pemahaman mereka.

Penceramah (Encik Dasuki) berinteraksi secara langsung dengan peserta, memberikan maklum balas terhadap hasil kerja mereka
Pengarah program, pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Dietetik dengan Kepujian, Syafiqah Sofea Binti Kamar berkata, “Program Komunikasi Dalam Pendigtalan: Penulisan Kreatif dapat memberikan impak yang tinggi kepada pelajar kerana setiap berita dan artikel yang dihasilkan membantu mereka dalam mempromosikan diri mereka untuk kebaikan masa hadapan. Selain itu, program ini juga dapat memupuk nilai murni dalam diri pelajar untuk menyumbang kepada kemajuan komunikasi negara”. Salah seorang peserta, Farhana, memuji keberkesanan program ini. “Walaupun dijalankan secara maya, sesi ini sangat interaktif dan memberi banyak input berguna. Saya kini lebih yakin untuk menulis berita dan artikel yang berkualiti dan tepat,” ujarnya.

Sesi fotografi bersama penceramah dan peserta program Komunikasi Dalam Pendigitalan: Penulisan Kreatif sebagai kenangan
Program ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan untuk melahirkan penulis berbakat di kalangan pelajar KMB. Dengan kemahiran yang dipelajari, para peserta diharapkan mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja informatif tetapi juga memberi impak kepada masyarakat. Penganjur juga bercadang untuk menganjurkan lebih banyak sesi seperti ini pada masa akan datang bagi memastikan mahasiswa terus mendapat pendedahan kepada teknik penulisan profesional yang relevan dengan keperluan industri. Semoga program ini menjadi langkah awal ke arah membentuk generasi mahasiswa yang mampu bersuara melalui penulisan dan menyumbang kepada dunia literasi di Malaysia.
Tarikh Input: 27/12/2024 | Kemaskini: 27/12/2024 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia