KTMB NIGHT MARKET
Disediakan oleh: Muhaisra Binti Muhammed Kifli
Serdang, 21 Mei 2025 - Sekretariat Keusahawanan, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) telah menganjurkan program KTMB Night Market sesi 2024/2025. Program ini berlangsung secara fizikal bertempat di perkarangan parkir Blok B, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Program ini dirancang bagi menjana pendapatan kolej melalui harga tapak sewa yang dikenakan kepada penjual dan memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dalam bidang keusahawanan. Dengan melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti jual beli, pengurusan gerai, dan interaksi dengan pelanggan, pelajar-pelajar diberi peluang untuk mempraktikkan ilmu berkaitan perniagaan serta kemahiran komunikasi dalam situasi sebenar.

Kemeriahan tapak pasar malam dengan kehadiran ramai pelajar dan pengunjung pada waktu petang
Program ini berjaya menarik penyertaan pelbagai peniaga dan menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada para pelajar dengan kehadiran seramai 1,106 pelajar dari pelbagai kolej. Pelajar bukan sahaja hadir sebagai pengunjung malah turut terlibat secara langsung sebagai peniaga. Sebanyak 3 kumpulan terdiri daripada pelajar KTMB dan Kolej 10 yang menyertai program ini sebagai peniaga.

Gerai jualan daripada AJK Jualan Sekretariat Keusahawanan dan Mobiliti, pelajar KTMB
Kehadiran pelajar didapati paling ramai pada waktu petang, khususnya selepas pukul 5 petang apabila kelas telah tamat, berbanding waktu malam yang sedikit kurang sesak. Walau Bagaimanapun, kedua-dua sesi petang dan malam memberi suasana yang positif. Dari segi jualan, pelbagai jenis makanan dan barangan telah ditawarkan. Antaranya termasuk makanan ringan seperti roti baghdad, takoyaki, colek buah dan sebagainya menjadi tarikan utama kepada pelajar. Selain makanan, terdapat juga gerai daripada pelajar KTMB dan pelajar Kolej 10 yang menjual barangan perhiasan seperti bunga hiasan dan servis mencuci kasut.

Suasana program pada waktu malam
Secara keseluruhan, KTMB Night Market telah berjaya mencapai objektifnya sebagai sebuah program keusahawanan yang bukan sahaja menjadi platform kepada pelajar untuk menimba ilmu dan pengalaman sebenar dalam bidang keusahawanan, tetapi juga membuka ruang interaksi antara komuniti kolej dan peniaga luar yang menyemarakkan lagi budaya keusahawanan dalam kampus.

Antara gerai makanan yang menjadi tumpuan pengunjung sepanjang program berlangsung

Barisan jawatankuasa pelaksana program KTMB Night Market
Diharapkan agar program seumpama ini menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif keusahawanan pelajar di masa hadapan. Selain menjana pendapatan kepada kolej, program ini juga menyumbang kepada pembangunan sahsiah pelajar yang lebih berkeyakinan, berdaya saing, dan bersedia untuk menghadapi dunia luar.
Tarikh Input: 05/07/2025 | Kemaskini: 05/07/2025 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia