Disediakan oleh: Li Mei Yen
KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE – Dari 9 Mac hingga 1 April 2026, telah berlangsungnya Program Kempen Switch Off anjuran Sekretariat Kediaman dan Kebajikan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) dengan kerjasama Kelab Diabolo, Persatuan Senibudaya Zhong Hua, Universiti Putra Malaysia. Program ini diadakan secara atas talian dan di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sebagai tanda sokongan terhadap usaha global dalam mengekang perubahan iklim melalui pelbagai aktiviti seperti pertandingan video kreatif TikTok, pertandingan poster, kuiz Instagram serta simbolik pemadaman lampu bilik pelajar dan lampu di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee selama 60 minit. Penganjuran kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan penjimatan tenaga dan tanggungjawab dalam melindungi alam sekitar.
Pertandingan poster bertemakan “Why One Hour Matters” telah disertai oleh seramai 128 orang pelajar, manakala pertandingan video kreatif TikTok bertemakan “One Hour Without… Challenge” melibatkan seramai 20 orang peserta. Kedua-dua pertandingan ini telah berlangsung dari 9 Mac hingga 24 Mac 2026 melalui platform Instagram, TikTok dan Google Form. Seterusnya, kuiz bertemakan “Light Off, Mind On” telah dijalankan melalui platform Instagram dan Google Form selama tiga hari, iaitu dari 29 Mac hingga 31 Mac 2026, dengan penyertaan seramai 1,076 orang pelajar. Kesemua aktiviti ini berjaya menyampaikan ilmu dan meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan penjimatan tenaga.
Kemuncak program berlangsung pada 1 April 2026 menerusi Majlis Penutup Program Kempen Switch Off yang diadakan di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dari jam 8.00 hingga 10.00 malam. Pendaftaran peserta dibuka dari jam 7.00 hingga 7.50 malam melalui Google Form bagi menghantar bukti gambar penutupan lampu bilik sebelum hadir ke dataran sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.
Majlis dimulakan dengan ketibaan para tetamu kehormat pada jam 8.00 malam, termasuk YBrs. Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee; Saudari Tengku Maryam binti Tengku Aziz, Naib Presiden Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2025/2026, Universiti Putra Malaysia; Saudari Li Mei Yen, Pengarah Program Kempen Switch Off; serta Saudari Lee Min Yu, Ketua Kelab Diabolo, Persatuan Senibudaya Zhong Hua, Universiti Putra Malaysia. Majlis Penutup ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid. Penerangan makna Earth Hour dijalankan.
Seterusnya, para peserta bersama-sama mengira detik untuk memadamkan lampu di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee pada jam 8.29 malam. Lampu dipadamkan dan pelbagai persembahan telah dijalankan dalam keadaan gelap selama 60 minit, termasuk persembahan alat muzik tradisional Cina, tarian, lakonan, diabolo, sesi refleksi serta live busking. Pada jam 9.30 malam, lampu dinyalakan semula, diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada pihak Kelab Diabolo, Persatuan Senibudaya Zhong Hua UPM. Majlis ini telah disertai oleh seramai 312 orang pelajar.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan inisiatif hijau dalam mengurangkan pembaziran tenaga dan pencemaran, serta menggalakkan pengamalan gaya hidup lestari dalam kehidupan seharian.
Program Kempen Switch Off ini diharapkan dapat menjadi salah satu usaha berterusan dalam memupuk kepekaan pelajar terhadap isu perubahan iklim, di samping menggalakkan amalan gaya hidup lestari. Melalui pelbagai medium seperti video, poster, kuiz dan persembahan, mesej pemuliharaan alam dapat disampaikan dengan lebih berkesan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pelajar, seterusnya mengharumkan nama Universiti Putra Malaysia sebagai institusi yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar serta menyokong inisiatif global.

Gambar 1: Sesi penyampaian cenderahati kepada Ketua Kelab Diabolo Senibudaya Zhong Hua Universiti Putra Malaysia, rakan kerjasama program Kempen Switch Off

Gambar 2: Persembahan diabolo oleh Kelab Diabolo Senibudaya Zhong Hua Universiti Putra Malaysia, rakan kerjasama program Kempen Switch Off

Gambar 3: Persembahan dan sesi refleksi dijalankan dalam suasana gelap
Gambar 4: Sesi fotografi semasa majlis penutup Kempen Switch Off

Gambar 5: Gambar bukti pelajar memadamkan lampu bilik bagi menyokong program Kempen Switch Off
Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia