8 Oktober 2022 – Susulan pelantikan Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023, Universiti Putra Malaysia pada 2 Julai 2022 (Sabtu) yang lalu, suatu program berbentuk kursus kepimpinan telah pun dianjurkan oleh pihak Pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee bagi melatih ahli MPK yang baharu ke arah pembangunan organisasi yang cemerlang dan bermutu tinggi. Kursus ini dinamakan sebagai Leadership Training (LEADTRA) Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 telah pun dijalankan selama 2 minggu bermula 11 September 2022 (Ahad) sehingga 25 September 2022 (Ahad) bertempat di sekitar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia dan Forest Research Institute (FRIM), Kepong, Selangor.
Objektif utama LEADTRA adalah untuk memberi peluang kepada ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 untuk mempelajari langkah pelaksanaan program yang bagus serta sistem dokumentasi yang efektif bagi persediaan mereka pada masa akan datang. Seterusnya, ia juga bertujuan untuk memantapkan lagi nilai-nilai kepimpinan serta sikap integriti dalam kalangan ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 dalam membentuk minda kelas pertama melalui bengkel serta aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang dijalankan. Akhir sekali, melalui penglibatan aktif ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 serta Pihak Pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, ianya dapat meningkatkan motivasi serta mengeratkan lagi hubungan silaturrahim setiap individu bagi menghasilkan kerja yang bermutu tinggi.
Pelbagai bentuk pengisian telah disajikan buat ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 sepanjang LEADTRA ini. Ianya meliputi aspek pengenalan kepada kolej, pengurusan aktiviti pelajar, serta pembangunan insaniah pelajar. Melalui kursus ini, ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 telah diperkenalkan kepada staf pentadbiran kolej, peraturan kolej kediaman pelajar, serta pengenalan kepada fasiliti, peralatan dan prosedur peminjaman di pejabat pentadbiran kolej. Di samping itu, ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 turut didedahkan dengan langkah-langkah berkaitan perancangan dan pengurusan aktiviti pelajar yang efektif dan berkesan. Mereka telah pun dibimbing dari segi aspek perancangan program atau aktiviti pelajar mengikut Key Performance Index (KPI) kolej, penyediaan kertas kerja, penyediaan minit mesyuarat, serta sistem e-merit.
Menerusi LEADTRA ini juga, ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran insaniah mereka melalui slot-slot latihan dalam kumpulan berkaitan teambuilding serta ceramah berkaitan kemahiran komunikasi, protokol dan pengurusan majlis serta mengenali personaliti. Penampilan serta etika diri merupakan salah satu aspek yang penting dalam membentuk pemimpin pelajar yang berkaliber. Menyedari akan kepentingan perkara ini, suatu slot berkaitan etika dan penampilan diri telah pun diwujudkan. Ianya disampaikan oleh En Ludinata Misnun, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Keusahawanan Dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), yang merupakan pakar dalam bidang protokol, pengurusan majlis, serta etika diri. Beliau seringkali dipanggil untuk memberikan ceramah berkaitan etika dan penampilan diri di berbagai tempat termasuklah di kementerian kerajaan.
Harapan YBrs Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni ialah ingin melihat ahli MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 dapat menjadi contoh tauladan kepada semua pelajar di kolej dari segi sahsiah serta pembangunan diri pelajar. Semoga MPK Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 dapat menjalankan tugas dengan baik bersama Pihak Pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dalam menjulang nama kolej di peringkat universiti serta lebih tinggi.


Tarikh Input: 08/10/2022 | Kemaskini: 08/10/2022 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia