Merentas Kampus | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » Merentas Kampus

Merentas Kampus

Kejayaan Pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dalam Acara Merentas Kampus Kejohanan Sukan Kolej UPM (SUKPRA) Sesi 2024/2025 di Akademi Sukan UPM

Oleh: Dalia Dayana, ssr.mpkktmb.2425@gmail.com

Serdang, 17 November 2024- 350 orang pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai acara tahunan iaitu merentas kampus yang dianjurkan Akademi Sukan UPM pada 17 November 2024 bertempat di Stadium Universiti Putra Malaysia. Acara ini diadakan sempena Kejohanan Sukan Kolej Universiti Putra Malaysia (SUKPRA) sesi 2024/2025 dan melibatkan ke semua sembilan buah kolej di UPM. Acara ini dipertandingkan untuk menguji ketahanan dan stamina para peserta sambil mengukuhkan nilai-nilai kesukanan dan semangat daya saing yang sihat dalam kalangan pelajar. Laluan larian mencabar sepanjang 7.4 kilometer disediakan untuk kategori lelaki, manakala peserta wanita melalui laluan sejauh 6.2 kilometer.

KTMB merasa amat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh para pelajar, yang bukan sahaja menyertai acara ini dengan penuh semangat tetapi juga berhasil menempatkan diri dalam kalangan peserta terbaik. Dalam kategori perseorangan lelaki, Risheraam A/L Parameswaran mencuri tumpuan apabila muncul sebagai Juara bagi Acara Merentas Kampus Kategori Lelaki Perseorangan, sekaligus mengharumkan nama kolej. Tan De Hui turut menunjukkan prestasi cemerlang dengan menamatkan larian di kedudukan ke-10 bagi Kategori Lelaki Perseorangan. Bagi Kategori Wanita Perseorangan, Li Ying melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya menduduki tempat ketiga. 

Risheraam A/L Parameswaran mendapat gelaran Johan bagi Acara Merentas Kampus Kategori Lelaki Perseorangan

Tan De Hui mendapat tempat kesepuluh bagi Acara Merentas Kampus Kategori Lelaki Perseorangan

Li Ying mendapat tempat Ketiga bagi Acara Merentas Kampus Kategori Wanita Perseorangan

Pencapaian mereka adalah bukti kegigihan dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang persiapan menghadapi acara ini. Kejayaan ini turut diiktiraf oleh pihak pengurusan kolej yang melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas usaha gigih yang ditunjukkan oleh semua peserta. Pihak pengurusan kolej turut berharap agar kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dan menyumbang kepada nama baik kolej. Ucapan terima kasih dan penghargaan juga diberikan kepada semua pelajar yang berusaha meningkatkan penyertaan bagi KTMB serta kepada pasukan sokongan yang terdiri daripada staf dan rakan-rakan pelajar yang hadir memberi sokongan sepanjang acara berlangsung.

Keseluruhannya, acara larian ini bukan sahaja menjadi medium pengujian kekuatan fizikal, tetapi juga telah berjaya memperkukuh ikatan antara pelajar serta menanamkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta. Semoga pencapaian ini menjadi motivasi untuk kejayaan yang lebih gemilang dalam kalangan pelajar KTMB pada masa akan datang.

 

Pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan 500 yang teratas

Sesi fotografi Bersama para pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee yang turut serta dalam Acara Merentas Kampus Kejohanan Sukan Kolej UPM (SUKPRA) sesi 2024/2025

Tarikh Input: 28/11/2024 | Kemaskini: 29/11/2024 | adib

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (04:21:07am-04:26:07am, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]