Serdang, 11 Okt 2022 – Selamat menjalani kehidupan di kampus sebagai mahasiswa dan mahasisiwi kepada semua pelajar baru ambilan program Bacelor sesi 2022/2023, Universiti Putra Malaysia. Tanggal 9 Okt 2022 merupakan hari terakhir program orientasi universiti iaitu Minggu Perkasa Putra Sesi 2022/2023. Di Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, telah berlangsung beberapa program untuk pencarian bakat kepimpinan dan bakat kreatif daripada segi akademik dan kokurikulum.
Arena Citra Terunggul (ACT) merupakan sebuah pertandingan anjuran Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian dengan kerjasama Pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee UPM yang diadakan sewaktu slot penutupan Minggu Perkasa Putra pada 10 Okt 2022. Pertandingan ini bertujuan untuk mengenalpasti bakat pelajar tahun satu Universiti Putra Malaysia bagi membuat pemilihan peserta yang akan mewakili pertandingan Malam Tunas Budaya peringkat interkolej. ACT menjadi wadah yang efisien untuk mencungkil kreativiti dan bakat pelajar dalam aspek lakonan, nyanyian, tarian dan persembahan instrumen.
Sepanjang program orientasi ini para pelajar baharu telah mendapat banyak maklumat dan informasi yang berkaitan merangkumi pelbagai sudut dan aspek antaranya kebajikan pelajar, akademik, aktiviti- aktiviti di kolej seperti sukan, kokurikulum, kebudayaan, orator dan banyak lagi.
Selain daripada itu, para pelajar juga telah diberikan pendedahan khusus terhadap pengumpulan merit dan penggunaan sistem demerit terhadap kesalahan melanggar peraturan kolej kediaman yang telah ditetapkan oleh Universiti Putra Malaysia melalui program Merit Starter Pack bermula 11 sehingga 15 Okt 2022.
Semua pengisian yang telah dikongsikan kepada pelajar baharu ini amat penting bagi mempersiapkan diri mereka menjadi mahasiswa dan mahasiswi yang unggul sekaligus dapat melahirkan pelajar yang kalis masa hadapan.
Cabaran yang bakal ditempuh pada masa akan datang ternyata lebih sukar dan di “Menara Ilmu” inilah tempat persinggahan para pelajar bagi menuntut dan menimba seberapa banyak pengalaman untuk mencukupkan bekalan di masa akan datang disamping dapat berbakti kepada masyarakat.



Tarikh Input: 11/10/2022 | Kemaskini: 11/10/2022 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia