SERDANG, 2 Oktober – Seramai 3,652 pelajar baharu program Bacelor mendaftar di UPM mulai 30 September hingga 1 Oktober 2023 di UPM Kampus Serdang, Selangor dan UPM Kampus Bintulu, Sarawak seramai 170 pelajar. Di Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, hari pendaftaran berlangsung pada 30 September, bermula 8 pagi sehingga 4 petang. Para pelajar yang mendaftar adalah terdiri daripada pelajar yang akan mengikuti program bacelor di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, dan Fakulti Perubatan Veterinar.
Semasa hari pendaftaran berlangsung, kesemua para pelajar yang datang ditempatkan di khemah pendaftaran bersama ibu bapa sebelum dibawa masuk ke kawasan kolej menaiki bas UPM. Pendaftaran pelajar diadakan di Bilik Bacaan, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee di Blok A. Hari pendaftaran berjalan lancar dengan sokongan dan kerjasama dari pihak sukarelawan universiti dan Majlis Perwakilan Kolej sesi 2023/2024, serta mantan MPK pada sesi lepas.



“Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada mahasiswa baharu program bacelor yang memilih destinasi pendidikan tinggi di legasi keramat Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2023/2024. Saya mengharapkan para pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran di UPM akan menjalankan tanggungjawab sehabis baik dengan penuh semangat serta berdedikasi” kata Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.

Kesemua pelajar yang mendaftar di Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee ditempatkan di rumah pelajar baru di blok A, B, C dan D. Bermula hari kedua sehingga hari kesembilan, pelajar akan melalui Minggu Perkasa Putra yang merupakan minggu pengenalan serta orientasi yang wajib dihadiri oleh kesemua pelajar baru yang mendaftar di Universiti Putra Malaysia.

Dengan semangat Malaysia MADANI, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada kesemua pelajar baharu yang mendaftar. Semoga anda dapat menunaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa UPM dengan penuh semangat, Berilmu Berbakti, berintegriti, penuh sahsiah dan mempunyai nilai profesionalisme tinggi. Sumbanglah kelestarian Berilmu Berbakti yang tinggi untuk keluarga, masyarakat dan Negara! Semoga Allah SWT merahmati usaha dan niat murni kita untuk meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Insya-Allah UPM akan menjadi medan mahasiswa menguasai ilmu dan menjadi insan holistik berjiwa besar yang memberi impak kesejahteraan dan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.

Tarikh Input: 03/10/2023 | Kemaskini: 03/10/2023 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia