Disediakan oleh: Wahida Daniela Binti Mohad Zain
Serdang, 6 Disember 2024 – Pesta Konvokesyen dan Ekspo Pertanian (PESKON) Ke-48 UPM telah berlangsung dengan penuh meriah bermula 29 November hingga 6 Disember 2024 di Khemah Utama Sekitar Perkarangan Canselori UPM. Acara tahunan ini menghimpunkan pelbagai aktiviti dengan tujuan untuk memartabatkan seni dan budaya serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan warga universiti. Kelab Arustika Putrasakti di bawah Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee telah menghantar empat penyertaan interkolej yang dianjurkan oleh kelab-kelab di bawah UPM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang diadakan sempena PESKON 2024 iaitu Pertandingan Festival Nasyid Interkolej Ke-15 (FESNIK XV), Pertandingan Boria 2024, Pertandingan Tarian Etnik Kreatif dan Putra Got Talent.
Pada 29 November 2024, Kelab Arustika telah menyertai Pertandingan Festival Nasyid Interkolej Ke-15 yang dianjurkan oleh kelab Nasyid Nahwan Nur melalui kumpulan Arasy Sakti yang disertai lapan orang peserta dengan sokongan 12 ahli jawatankuasa. Pasukan ini diketuai oleh pengurus pasukan, saudari Nur Shahadah binti Supardi, yang memastikan kelancaran dan kejayaan penyertaan mereka. Festival ini menjadi platform untuk mempersembahkan keindahan seni suara dan keagamaan, memperkukuh nilai spiritual serta kreativiti dalam kalangan peserta.

Persembahan Arasy Sakti di Pentas Utama PESKON 2024.
Pada 30 November 2024, KTMB telah menyertai Pertandingan Boria 2024, yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang. Pertandingan ini menyaksikan 12 peserta tampil dengan sokongan 26 orang ahli jawatankuasa di sebalik tadbir melalui kumpulan Boria Rentak Sakti. Pertandingan boria ini dianjurkan bertujuan untuk menghidupkan semula seni teater tradisional yang diangkat oleh masyarakat di utara tanah air, iaitu Pulau Pinang. Bertemakan ‘Pertanian Untuk Rakyat’, pasukan ini diketuai oleh saudari Wahida Daniela binti Mohad Zain, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka yang telah merangkul Johan Keseluruhan dan Anugerah Tukang Karang Terbaik.

Gambar bersama pemenang, jurulatih dan penyokong sebagai kenangan.

Tahniah Saudari Haidah Aina Zahra binti Hamizi atas Anugerah Khas Tukang Karang Terbaik
Bagi Pertandingan Tarian Etnik Kreatif yang dianjurkan oleh Kelab Seni Tari Badansa pada 1 Disember 2024, kumpulan Arustika Putrasakti yang terdiri daripada lapan peserta dengan bantuan 14 orang ahli jawatankuasa, yang dipimpin oleh saudara Muhammad Norafni bin Alias, telah mempersembahkan tarian etnik kaum Murut dari Sabah. Persembahan mereka menggambarkan suasana kegembiraan masyarakat Murut semasa musim menuai padi berjaya membawa pulang anugerah Naib Johan dan juga Anugerah Khas Penari Lelaki Terbaik yang merupakan satu penghargaan terhadap dedikasi mereka dalam memartabatkan seni budaya etnik di Sabah.

Gambar pemenang bersama pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar, pengarah program dan pengarah PESKON 2024.

Tahniah Saudara Mohamad Shahrul Izham bin Abdul Raset atas Anugerah Khas Penari Lelaki Terbaik.
Tidak ketinggalan, dua peserta berbakat turut mempersembahkan kreativiti mereka dalam Pertandingan Putra Got Talent pada 1 Disember 2024. Saudara Mohammad Hisyam bin Arman dari Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee berjaya memperoleh Tempat Ketiga menerusi persembahan nyanyian lagu “Sedetik Lebih” oleh Anuar Zain berjaya, menggerakkan hati para penonton dengan suaranya yang lunak. Kejayaan ini turut didukung oleh perancangan dan pengurusan rapi pengurus pasukan iaitu saudari Wahida Daniela binti Mohad Zain, yang memainkan peranan penting dalam memastikan penyertaan peserta berjalan dengan lancar dan penuh semangat.

Tahniah Saudara Mohammad Hisyam bin Arman atas kejayaan memperoleh tempat Ketiga di Putra Got Talent.
PESKON 2024 menyaksikan kejayaan besar bagi pasukan-pasukan yang bertanding. Kesemua anugerah yang diperoleh hanya membuktikan pelbagai bakat luar biasa pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dalam pelbagai cabang seni dan budaya. Kejayaan ini merupakan hasil daripada dedikasi dan usaha keras semua ahli pasukan, disokong oleh komitmen warga kolej. Dengan itu, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee telah membawa pulang Johan bagi Anugerah Komitmen Terbaik bagi Pesta Konvo 2024 dan telah menerima geran aktiviti sebanyak RM3,000.00.

Gambar Felo Pemantau Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Cik Maisarah binti Mohamed Mohamed Zakaria menerima Geran Aktiviti bernila RM3,000.00.
Penyertaan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee bukan sahaja mencerminkan semangat kesenian dan kebudayaan yang tinggi, tetapi juga merupakan usaha untuk memupuk perpaduan serta menyemarakkan lagi warisan budaya bangsa. Secara keseluruhan, kejayaan pasukan-pasukan ini bukan sahaja berkat komitmen dan kerja keras para peserta dan pengurus pasukan, tetapi juga sokongan padu serta bimbingan yang tidak berbelah bahagi daripada felo kolej, Cik Maisarah binti Mohamed Zakaria.
PESKON Ke-48 UPM telah memberikan impak yang positif kepada semua yang terlibat. Diharapkan melalui pertandingan-pertandingan seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan, agar seni masyarakat Malaysia dapat terus berkembang dan dihargai oleh generasi muda. Semoga kejayaan dan pengalaman yang diperoleh daripada semua pertandingan ini menjadi inspirasi kepada pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee untuk melangkah lebih jauh dalam memartabatkan seni budaya tempatan di persada dunia.
Tarikh Input: 10/12/2024 | Kemaskini: 12/12/2024 | adib

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia