SERDANG, 31 Januari 2023 - Di bawah anjuran Sekretariat Kepimpinan dan Latihan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023 telah menganjurkan program Pink Venom : Kesedaran dan Kepimpinan pada 24 Disember yang lalu. Program ini telah berlangsung di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dan dihadiri oleh dua orang Pegawai Bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia iaitu Encik Abdul Syafiq bin Othman dan Encik Muhammad Syakir bin Abdul Abd Rahim. Seramai 100 orang peserta dari Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee telah mengikuti program ini. Program tersebut juga turut menerima kehadiran felo dan staf pengurusan bersama ahli keluarga yang turut bersama sama menimba ilmu pengetahuan berkenaan pengendalian haiwan berbisa dan berbahaya. Perasmian majlis oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni dengan memberi kata aluan dan menyambut kedatangan para penceramah.
Program ini bertujuan meningkatkan ketangkasan pelajar dalam bertindak secara bijak dan pantas dengan adanya ilmu asas untuk mengendali haiwan berbisa. Selain itu, pelajar dapat melontarkan idea dan mencari cara penyelesaian ketika berlakunya situasi kecemasan dengan haiwan berbisa. Turut diberi pendedahan tentang tatacara pengendalian haiwan berbisa dan perkongsian oleh penceramah berkenaan situasi berhadapan dengan haiwan berbisa, serta siapa orang yang bertanggungjawab dihubungi jika berlaku situasi yang tidak disangka diluar kemampuan peserta.
Program bermula dengan sesi ceramah daripada Encik Muhammad Syakir kemudian diikuti dengan Encik Abdul Syafiq yang mengetengahkan bagaimana untuk mengenali ular berbisa. Mereka juga turut berkongsi tentang tips-tips mengendali haiwan tersebut. Selepas itu, sesi kedua dijalankan, iaitu sesi simulasi. Di sini, mereka mendemonstrasikan cara-cara menangkap ular yang betul menggunakan peralatan khas. Sebanyak 2 ular digunakan pada sesi ini iaitu ular sawa batik, ular tedung selar. Pada akhir program, pelajar berpeluang untuk menangkap gambar dengan ular yang dibawa khas dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Cawangan Negeri Selangor.
Pengetua turut berkongsi kegembiraan dengan penyertaan yang amat baik dari para pelajar.
" Saya amat berbesar hati dengan penyertaan para pelajar yang ramai, keinginan pelajar untuk menimba ilmu berkenaan bahaya haiwan berbisa dan tatacara pengendalian haiwan berbisa. Ini sangat penting berikutan struktur tanah di kawasan kolej yang mempunyai kawasan lembap berpaya dan hutan yang terdedah dengan kehadiran binatang berbisa. Dari program ini sedikit sebanyak dapat mempersiapkan pelajar dengan ilmu tatacara pengendalian haiwan berbisa jika terjadi situasi sebenar nanti."
Ribuan terima kasih diucapkan kepada para peserta dan ahli jawatankuasa yang terlibat atas kerjasama dalam menjayakan program Pink Venom. Semoga program ini sedikit sebanyak dapat memberikan pengetahuan kepada para peserta dalam mengenali haiwan berbisa iaitu ular khususnya.



Tarikh Input: 31/01/2023 | Kemaskini: 31/01/2023 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia