Disediakan oleh: Charlene Chia Xin Ni
SERDANG, 29 Januari 2026 – Program Podcast: Nightline UPM telah berjaya dianjurkan oleh Sekretariat Pendigitalan dan Komunikasi Korporat pada 8, 15, 22 dan 29 Januari 2026 yang berlangsung setiap hari Khamis secara Facebook Live Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Program ini dijalankan selama empat siri dengan tempoh satu jam bagi setiap episod dan disasarkan kepada mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Pengarah Program, Charlene, objektif utama penganjuran Podcast: Nightline UPM adalah untuk menyediakan satu platform santai dan mesra pelajar, di mana mahasiswa boleh mendengar perbincangan yang relevan dengan kehidupan sebagai pelajar sambil melakukan tugasan harian masing-masing. Beliau berharap program ini dapat menjadi medium sokongan emosi dan mental kepada mahasiswa melalui perkongsian yang dekat dengan realiti kehidupan kampus.
Program ini merangkumi empat siri podcast dengan tema berbeza setiap minggu. Siri 1 bertajuk Mind and Soul Talks: Mental Health Matter memfokuskan kepada kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa. Siri 2, Fuel to Flourish: Healthy Eating and Student Lifestyle pula membincangkan amalan pemakanan sihat dan gaya hidup pelajar. Seterusnya, Siri 3, Bonds That Last: Friendship and Relationship mengetengahkan isu persahabatan dan hubungan, manakala Siri 4, Balance in Motion: Time and Life Balance memberi penekanan kepada pengurusan masa serta keseimbangan kehidupan pelajar.
Keunikan Podcast: Nightline UPM adalah penglibatan aktif mahasiswa melalui mesej anonim yang dikumpulkan setiap minggu daripada pelajar UPM. Mesej-mesej ini dibincangkan secara terbuka bersama panel jemputan bagi memberi nasihat, pandangan serta solusi yang praktikal dan membina. Program ini turut menampilkan dua orang panel jemputan berpengalaman iaitu Cik Norezzati, Pegawai Hospital Sultan Abdul Aziz Shah yang terlibat dalam Siri 1, 3 dan 4, serta Cik Joanne, pemegang PhD dalam bidang Clinical Nutrition bagi Siri 2.
Sebagai penutup setiap siri, sesi interaktif turut diadakan melalui permintaan lagu oleh mahasiswa menerusi Instagram, selain perkongsian ucapan dan kata-kata motivasi kepada rakan-rakan sebagai sokongan moral. Elemen interaktif ini menjadikan suasana podcast lebih santai, dekat dengan pelajar dan berkesan dalam menyampaikan mesej positif.
Pihak penganjur berharap agar Podcast: Nightline UPM dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu platform digital yang memberi impak positif kepada kesejahteraan dan perkembangan holistik mahasiswa UPM.

Gambar 1: Ahli jawatankuasa sedang mengendalikan sesi pertama Podcast: Nightline UPM.

Gambar 2: Siaran langsung Podcast: Nightline UPM Siri 2 melalui platform Facebook rasmi Kolej Tan Sr Mustaffa Babjee.

Gambar 3: Siaran langsung Podcast: Nightline UPM Siri 4 melalui platform Facebook rasmi Kolej Tan Sr Mustaffa Babjee.

Gambar 4: Ahli jawatankuasa sedang mengendalikan sesi keempat Podcast: Nightline UPM.

Gambar 5: Sesi fotografi bersama ahli jawatankuasa Podcast: Nightline UPM untuk sesi yang keempat
Tarikh Input: 09/04/2026 | Kemaskini: 09/04/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia