SERDANG, 23 FEBRUARI 2023 - Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti telah menganjurkan satu program yang berteraskan khidmat komuniti dan kemasyarakatan iaitu Program Healthy Ageing With KMB dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMNS) dan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing@UPM) serta mendapat tajaan daripada Farm Fresh Berhad Pada 17 Disember 2022 yang lalu. Program Healthy Ageing with KMB merupakan satu program kesukarelawanan terhadap komuniti orang tua yang dianjurkan oleh Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2022/2023. Program yang membina kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMNS) dan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing@UPM) ini bertujuan untuk memastikan kesihatan mental dan fizikal golongan warga emas berada pada tahap yang baik. Program ini diharapkan agar dapat memberi impak kepada golongan warga emas sebagai persiapan Malaysia yang akan berstatus ‘negara tua’ menjelang tahun 2030.

Program yang dijalankan di Rumah Seri Kenangan, Cheras ini bertujuan untuk berkongsi kasih sayang dan mengasah kemahiran berkomunikasi pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee terutamanya terhadap warga emas. Selain itu, program ini juga memegang objektif untuk memastikan kesihatan fizikal dan mental warga emas berada pada tahap yang baik sebagai persiapan Malaysia yang akan berstatus ‘negara tua’ menjelang 2030. Program ini telah disertai oleh 30 orang sukarelawan. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah senaman pagi, pengenalan tentang sakit tulang belakang, saringan kognitif, bermain batu seremban dan sesi ramah mesra.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada para sukarelawan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Healthy Ageing With KMB ini. Semoga program ini sedikit sebanyak dapat memberi impak positif kepada para pelajar untuk lebih peka terhadap kesihatan warga emas dan menyuntik semangat kesukarelawanan dalam diri mereka.
Tarikh Input: 23/02/2023 |
Kemaskini: 27/02/2023 | s_syazana
PERKONGSIAN MEDIA