Disediakan oleh: Siti Fadhilah binti Hassan
Serdang, 8th June 2025– Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Program Ihya’ Zulhijjah yang bertempat di Surau Khulafa' Ar-Rasyidin. Program ini telah dihadiri oleh seramai 60 orang pelajar Muslim yang menyertai aktiviti dari awal sehingga akhir program.
Program ini dianjurkan khas untuk para pelajar Muslim Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee yang tidak pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidiladha. Inisiatif ini bertujuan menyemarakkan semangat keislaman dan penghayatan terhadap kelebihan bulan Zulhijjah, di samping memperkukuh ukhuwwah dalam kalangan pelajar.
Antara pengisian utama program ialah solat Maghrib berjemaah, bacaan Surah Yasin, doa selamat, perkongsian ilmu tentang pengertian dan hikmah Aidiladha, serta solat Isyak berjemaah. Pengisian rohani ini telah diketuai oleh Encik Fakhrur Radzi bin Muslim, Felo Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, yang menyampaikan tazkirah berkaitan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan nilai keikhlasan dalam ibadah korban.
Program ini turut diserikan dengan gema takbir Aidiladha yang bergema dengan penuh kesyahduan dan rasa kebersamaan, menyemarakkan lagi suasana sambutan Aidiladha dalam kalangan warga kolej.
Kehadiran Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Prof. Madya Dr. Nurul Hayah binti Khairuddin turut memeriahkan program, di mana beliau menzahirkan sokongan dan keprihatinan terhadap para pelajar yang menyambut perayaan Aidil Adha di perantauan.
Edaran makanan kepada peserta program

Edaran makanan kepada peserta program
Majlis diakhiri dengan edaran juadah makan malam kepada semua peserta sebagai simbol kasih sayang, kebersamaan dan penghargaan daripada pihak kolej.
Penganjuran Program Ihya’ Zulhijjah ini membuktikan usaha berterusan kolej dalam memelihara kebajikan rohani pelajar serta mengukuhkan jati diri Islam dalam kalangan mahasiswa Universiti Putra Malaysia.

Prof. Madya Dr. Nurul Hayah, pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee bersama-sama jemaah wanita
Tarikh Input: 04/07/2025 | Kemaskini: 04/07/2025 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia