SERDANG, 21 Februari 2023 - Sekretariat Keceriaan dan Kelestarian Hijau telah menganjurkan Program Jom Kitar Semula Siri 1 bagi pelajar Kolej Tan Sri Mustafa Babjee. Program ini dilaksanakan bagi menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam amalan kitar semula pada 1 dan 2 Disember 2022 yang lalu.
Program ini telah berlangsung selama 2 hari bertempat di Wing 3, Blok D, Kolej Tan Sri Mustafa Babjee. Pada hari pertama, program ini dimulakan dengan Blok A dan Blok B dituruti oleh Blok C dan Blok D pada hari kedua. Setiap pelajar akan membawa barang yang ingin dikitar semula seperti kertas A4, botol plastik pelbagai saiz dan tin minuman. Barang-barang ini akan ditebus dengan mata dan merit mengikut kadar dan kuantiti yang telah ditetapkan seperti yang telah tertera di dalam poster program. Program ini bertujuan bukan hanya untuk memupuk amalan kitar semula malahan menyuntik perasaan cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar. Tambahan lagi, para pelajar yang menjadi ahli jawatankuasa dalam menjayakan program ini dapat meningkatkan nilai-nilai seperti kemahiran berkomunikasi dan kerjasama berpasukan dalam diri. Akhir kata, Program Jom Kitar Semula ini akan disambung dengan Siri 2 pada tahun hadapan dengan penambahbaikan.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pelajar yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memeriahkan serta menjayakan program ini. Diharapkan agar usaha murni ini dapat mengekalkan kelestarian alam sekitar sekali gus mendidik anak muda khususnya para pelajar mengenai cara menguruskan sisa pepejal dengan baik.
Tarikh Input: 21/02/2023 |
Kemaskini: 21/02/2023 | s_syazana
PERKONGSIAN MEDIA