Serdang, 3 April 2023 - Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, sesi 2022/2023 telah menganjurkan satu program yang berteraskan khidmat komuniti dan kemasyarakatan iaitu Program KMB Bonding Orang Asli anjuran bersama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli ( JAKOA ), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang dan Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Sepang. Program ini dijalankan di Dewan Terbuka, Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong Sg Pelek Sepang bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada 19 Mac 2023 yang lalu. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga kampung orang asli untuk mengutamakan penjagaan kesihatan melalui pelbagai pemeriksaan dan pameran kesihatan yang telah dijalankan secara percuma.
Program pendidikan kesihatan ke Perkampungan Orang Asli merupakan satu program kesukarelawanan. Program ini bertemakan “Mahasiswa prihatin Masyarakat Terjamin” yang bertujuan bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari budaya hidup di perkampungan orang asli. Program ini juga diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua warga perkampungan orang asli mengenai kepentingan penjagaan kesihatan melalui karnival pameran kesihatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma, dengan jalinan kerjasama daripada beberapa buah agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Antaranya adalah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor (JAKOA), Klinik Pergigian Daerah Sepang, Bahagian Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang Kementerian Kesihatan Malaysia, Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear, Jabatan Bioperubatan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.
Disamping memberi manfaat kepada penduduk setempat, melalui program ini juga, para pelajar dapat mengaplikasikan ilmu sains kesihatan yang dipelajari oleh pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee kepada masyarakat luar. Pelajar juga bahkan berupaya membina hubungan baik dengan masyarakat orang asli walaupun berbeza bangsa agama dan budaya. Bukan itu sahaja, pelajar dapat menimba pengalaman menjalankan aktiviti kesukarelawanan berteraskan komuniti dan kemasyarakatan. Program ini juga turut memberi peluang kepada pelajar untuk memberikan sumbangan hasil dari kutipan derma dan tajaan yang diberikan. Sumbangan 'Bakul Rahmah', alatan elektrik hasil dari sumbangan orang ramai, dan beberapa keperluan sekolah turut berjaya disumbangkan kepada masyarakat orang asli di Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong.
Majlis Penutupan KMB Bonding Orang Asli telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan. B. Chendren Balakrishnan, Pegawai Khas Ahli Parlimen Daerah Sepang, mewakili Yang Berbahagia, Puan Aiman Atirah Sabu, Ahli Parlimen Daerah Sepang. Bersama-sama di majlis penutupan tersebut juga turut dihadiri oleh tetamu kehormat, iaitu Tok Batin, Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang Encik Batin Ramun bin Shari, dan Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, YBrs. Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni.


Program ini jugak untuk memupuk sikap semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam diri pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dan memberi peluang kepada semua peserta untuk menjalankan aktiviti bersama penduduk Orang Asli. Program ini telah melibatkan 44 orang jawatankuasa pelaksana dan turut melibatkan wakil sukarelawan daripada pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah pemeriksaan penilaian status kesihatan, Ujian Bacaan aras glucose dalam badan, Ujian saringan kanser (Ultrasound), Pemeriksaan Gigi secara percuma, Demo Masakan dari Pegawai Sains Pemakanan, sesi konsultasi dari Pegawai Perubatan.
"Ribuan Terima Kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini, Diharapkan agar penganjuran program ini dapat melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai nilai kesukarelawan yang tinggi disamping menjadi aset untuk masa hadapan" Berikut merupakan harapan dan hasrat YBrs. Prof. Madya Dr. Jasronita binti Jasni, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Beliau amat gembira dan berbesar hati dengan pencapaian program KMB Bonding Orang Asli.
Tarikh Input: 03/04/2023 |
Kemaskini: 04/04/2023 | s_syazana
PERKONGSIAN MEDIA