Program Minggu Moral Bloom Within: A Self-care Journey | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » Program Minggu Moral "Bloom Within: A Self-care Journey"

Program Minggu Moral "Bloom Within: A Self-care Journey"

Disediakan oleh:Siti Fadhilah binti Hassan

28 November 2024, Serdang - Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Minggu Moral bertemakan "Bloom Within: A Self-care Journey" dari 26 hingga 28 November 2024. Program ini, yang berlangsung di Dataran KTMB, berjaya menarik purata kehadiran sekitar 250 orang peserta setiap hari, terdiri daripada pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee yang mengambil bahagian mendengar perkongsian dan aktif dalam aktiviti selingan yang disediakan oleh penceramah.  

Program Minggu Moral ini dengan kerjasama Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia dan pihak pengurusan KTMB menjemput tiga orang penceramah daripada Bahagian Kaunseling UPM dengan mengetengahkan tiga topik utama iaitu Personaliti Diri, Motivasi Diri, dan Sayangi Diri. Melalui perkongsian ceramah dan soal jawab interaktif, program ini bertujuan untuk membantu pelajar mengenal pasti potensi diri, memperbaiki motivasi, serta menjaga kesejahteraan mental dan fizikal. Selain itu, program ini juga memberi penekanan kepada kepentingan penjagaan diri bagi memupuk keseimbangan gaya hidup yang menyokong prestasi akademik pelajar yang lebih baik serta kesihatan mental yang berpanjangan.

Pelajar menjawab soalan Keirsey yang diberikan oleh penceramah jemputan, Encik Redzuan bagi slot Personaliti Diri

Program ini dimulakan dengan ketibaan para pelajar dan perarakan masuk tetamu kehormat ke Dataran KTMB sebelum diteruskan dengan slot pertama bertajuk Motivasi Diri. Dalam slot ini, Encik Redzuan memperkenalkan Keirsey Personality Test kepada pelajar untuk membantu mereka mengenal pasti personaliti masing-masing, memberikan panduan tentang kekuatan dan kelemahan diri. Slot kedua, bertajuk Motivasi Diri menyaksikan Encik Zaim berkongsi pengalaman hidupnya yang penuh inspirasi dan memberi tips bagaimana untuk kekal bermotivasi sepanjang bergelar mahasiswa di Universiti. Sesi ini juga disertai oleh dua pelajarnya yang turut memberikan perkongsian motivasi untuk menggalakkan daya tahan dan usaha dalam kehidupan. Pada hari terakhir, slot Sayangi Diri bersama Puan Kamariah memberi fokus kepada kepentingan menghargai diri sendiri dan menjaga keseimbangan emosi, termasuk cara menghindari tekanan. Ceramah dan aktiviti sepanjang program ini berjaya memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan penjagaan diri, emosi, dan hubungan sesama rakan.

 

Penceramah jemputan, Encik Zaim sedang menyampaikan perkongsian mengenai motivasi diri bagi slot pada hari kedua

Menurut Pengarah Program, Saudari Merissa Johari, "Program ini dirancang untuk membantu pelajar lebih memahami kekuatan dan kelemahan diri, membantu dalam menjaga kesejahteraan mental dan fizikal pelajar. Dengan pelaksanaan aktiviti yang menyeluruh, kami berharap peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian.”

 

Penceramah jemputan, Puan Kamariah memberikan demonstrasi berkenaan slot ketiga iaitu Sayangi Diri bersama Pengarah Program Minggu Moral, Merissa Johari
Diharapkan dengan adanya Program Minggu Moral ini, para pelajar dapat menimba ilmu dan panduan yang telah dikongsikan sepanjang program sebagai asas untuk memperkukuh sahsiah diri, meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan dan keyakinan diri, dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian agar mencapai keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesihatan mental. Walaupun kesibukan akademik sering menjadi cabaran utama, diharapkan pelajar dapat terus mengamalkan penjagaan diri yang holistik sebagai langkah penting ke arah kehidupan yang lebih produktif dan bermakna.

 

Sesi fotografi beramai-ramai pada sesi akhir program bagi slot pertama

 

Tarikh Input: 04/12/2024 | Kemaskini: 04/12/2024 | adib

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (08:53:34pm-08:58:34pm, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]