PROGRAM PENTERNAKAN BURUNG PUYUH | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » PROGRAM PENTERNAKAN BURUNG PUYUH

PROGRAM PENTERNAKAN BURUNG PUYUH

Disediakan oleh: Fa’iqah Nayli binti Muhammad Fuad

Serdang, 4 Julai 2025 – Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan Program Penternakan  Burung Puyuh secara rasmi pada 9 Jun 2025. Barisan Felo, staf pengurusan, dan para pelajar termasuk barisan Majlis Perwakilan Kolej KTMB telah berganding bahu, bekerjasama dalam menjayakan program ini di mana ia merupakan inisiatif berterusan dalam menyokong agenda keterjaminan makanan dan kelestarian kampus, selari dengan visi universiti ke arah pembangunan lestari dan pendidikan berimpak tinggi.

Persiapan awal bagi pelaksanaan program ini telah bermula pada 4 Jun 2025, termasuk kerja-kerja pemasangan sangkar, pembersihan kawasan penternakan, dan penyediaan keperluan asas untuk puyuh seperti bekas makanan dan minuman. Aktiviti harian penternakan bermula secara konsisten setiap hari pada dua sesi iaitu pada waktu pagi sekitar jam 7.00 hingga 7.30 pagi dan pada waktu petang sekitar jam 6.00 hingga 6.30 petang.

Pemasangan sangkar burung puyuh

Pemantauan kesihatan puyuh secara berkala

Antara aktiviti utama yang dijalankan dalam program ini termasuk membersihkan sangkar puyuh, mengisi air minuman, memberi makanan, menimbang dan mengira purata berat badan puyuh, serta memerhati keadaan kesihatan puyuh secara berkala. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja penting untuk memastikan kebajikan haiwan terjaga, malah memberi pendedahan praktikal kepada para pelajar mengenai aspek asas dalam pengurusan penternakan kecil.

Pembersihan kawasan penternakan burung puyuh

Proses pemberian makanan kepada burung puyuh

Penganjuran program ini memberi peluang kepada pelajar kolej untuk terlibat secara langsung dalam membina kesedaran terhadap kepentingan keterjaminan makanan, kemahiran pemeliharaan haiwan ternakan secara lestari, serta nilai tanggungjawab dan disiplin dalam pengurusan berkala. Ia juga menyumbang kepada usaha memupuk budaya pertanian bandar dalam skala kecil yang sesuai dilaksanakan dalam persekitaran institusi pendidikan. Program Penternakan Burung Puyuh ini mencerminkan komitmen Sekretariat Kelestarian Hijau dan Keterjaminan Makanan dalam merangka dan melaksanakan inisiatif bermakna yang memberi impak kepada komuniti kolej secara menyeluruh.

Jutaan ucapan terima kasih diucapkan kepada para peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Program Penternakan Burung Puyuh bagi sesi kali ini. Diharapkan, program ini dapat diteruskan sebagai salah satu projek jangka panjang yang memberi manfaat berterusan kepada pelajar dan warga Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee di samping menyokong keterjaminan makanan dan kelestarian kampus secara menyeluruh.

Tarikh Input: 04/07/2025 | Kemaskini: 04/07/2025 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (08:49:37am-08:54:37am, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]