Oleh: Nurul Anis Mohd Tarmizi
Foto oleh: (AJK multimedia/Jurugambar)
Serdang, 4 Julai 2025 – Program Putra Tuition 3.0 anjuran Sekretariat Keusahawanan, Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee telah melabuhkan tirainya dengan jayanya. Program yang bermula sejak 29 November 2024 ini dilaksanakan secara berkala setiap malam Jumaat dan Sabtu di Bilik Bacaan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia. Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa untuk menjana pendapatan sebagai tenaga pengajar sambil memupuk kemahiran insaniah melalui penglibatan dalam komuniti.

Pelajar Bersama pengajar semasa kelas berlangsung
Program ini turut memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya anak-anak staf dan penduduk sekitar UPM, dengan menyediakan kelas tuisyen pada kadar yuran yang rendah. Sebanyak tiga komponen utama ditawarkan iaitu kelas mengaji, pembelajaran mata pelajaran teras dan pembangunan sahsiah. Seramai 10 orang mahasiswa telah terlibat sebagai tenaga pengajar bagi setiap sesi manakala lebih kurang 35 orang murid sekolah rendah telah menyertai program ini juga pada setiap sesi.

Pelajar sedang menunggu ibu bapa mengambil pulang
Menariknya, Putra Tuition 3.0 juga telah memperkenalkan kelas mengaji sebagai nilai tambah kepada modul sedia ada, menjadikan pendekatan pembelajaran lebih holistik dan menyeluruh. Di samping itu, program ini turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk membina jaringan sosial, memperkukuh nilai empati serta memahami cabaran masyarakat secara langsung.

Kelas mengaji sedang berlangsung
Dengan pencapaian memberangsangkan ini, pihak penganjur berharap agar Putra Tuition dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih luas serta sokongan berterusan dari pelbagai pihak. Program ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan mahasiswa terhadap masyarakat, malah menjadi bukti bahawa pelajar universiti mampu menjadi ejen perubahan yang signifikan dalam pembangunan sosial dan pendidikan negara.
Tarikh Input: 04/07/2025 | Kemaskini: 04/07/2025 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia