Putra Wizarding Bee 3.0; The Spelling Showdown | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » Putra Wizarding Bee 3.0; The Spelling Showdown

Putra Wizarding Bee 3.0; The Spelling Showdown

 

Disediakan oleh: Kamal Hafizi Bin Kamarulizam

19 Januari 2025, Serdang – Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sesi 2024/2025, dengan kerjasama Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC) Universiti Putra Malaysia, telah menganjurkan program Putra Wizarding Bee 3.0: The Spelling Showdown di Dataran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB). Program ini merupakan pertandingan ejaan Bahasa Inggeris peringkat universiti yang bertujuan memperkayakan perbendaharaan kata pelajar, meningkatkan keyakinan diri, dan mengasah kemahiran membuat keputusan dalam suasana kompetitif. Seramai 27 orang pelajar dari kolej kediaman Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai program ini, dengan sokongan lebih 100 orang penyokong dari sekitar UPM.

Kami berbesar hati untuk menerima Encik Othman Bin Abdul Kareem, Puan Nor Hafizah Anwardeen, dan Puan Sarah Syazana Baharuddin dari Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), UPM sebagai juri bagi program kami. Sebagai pendidik berpengalaman di Universiti Putra Malaysia (UPM), mereka membawa kepakaran luas dalam pendidikan bahasa Inggeris, pengucapan awam, dan komunikasi profesional. Encik Othman, yang berkhidmat sebagai pensyarah sejak 2011, pakar dalam IELTS, MUET, dan latihan akademik, manakala Puan Nor Hafizah, dengan pengalaman lebih 15 tahun, memberi tumpuan kepada ESL, pembangunan kurikulum, dan penglibatan pelajar. Puan Sarah Syazana, seorang Jurulatih Bertauliah HRDCorp, telah mengajar di UPM sejak 2010, dengan kepakaran dalam reka bentuk kurikulum dan penulisan akademik. Dedikasi dan komitmen mereka dalam dunia pendidikan menjadikan mereka aset yang sangat berharga bagi program ini.

Acara dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan sesi pendaftaran dan taklimat kepada peserta. Pertandingan diteruskan dengan sesi saringan yang berlangsung pada jam 10.30 pagi, di mana peserta perlu mengeja perkataan pada tahap kesukaran easy (2-3 syllables). Setiap peserta diberi masa yang terhad untuk mengeja setiap perkataan yang diberikan. Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk sesi saringan, yang memilih lima peserta terbaik setiap kumpulan. Hanya 15 orang peserta terbaik dipilih untuk mara ke peringkat seterusnya.

Peserta bersedia untuk memulakan pertandingan

Peringkat saringan peserta

Pada jam 12.30 tengah hari, sesi peringkat separuh akhir dimulakan. Pada peringkat ini, para peserta diuji dengan perkataan tahap kesukaran intermediate (3-4 syllables), bagi memastikan hanya lapan orang peserta terbaik akan mara ke peringkat seterusnya. Persaingan di peringkat ini berlangsung sengit dengan setiap peserta berusaha memberikan usaha yang terbaik dengan sokongan moral yang tidak putus-putus daripada para penonton.


Pusingan separuh akhir


Juri sedang memberikan perkataan untuk dieja

Pada jam 2.00 petang, pertandingan diteruskan dengan pusingan akhir yang melibatkan lapan orang peserta terbaik. Pada peringkat ini, mereka diuji dengan perkataan tahap kesukaran hard (4-5 syllables), dan setiap peserta menunjukkan tahap keyakinan dan kemahiran yang tinggi di hadapan para juri dan penonton. Setelah selesai pusingan akhir yang mendebarkan, tiga peserta terbaik telah diiktiraf sebagai pemenang Putra Wizarding Bee 3.0.


Peserta berada di Pusingan Akhir


Para pemenang bergambar dengan hadiah yang diperolehi

Majlis penutup bermula pada jam 3.00 petang dengan ucapan daripada Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, disusuli dengan ucapan Pengarah Program Putra Wizarding Bee 3.0; The Spelling Showdown. Acara diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada barisan juri dan hadiah kepada para pemenang, serta semua pihak yang terlibat sebagai penghargaan atas kerjasama mereka dalam menjayakan program ini. Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama peserta, pemenang, dan ahli jawatankuasa.

Ahli Jawatankuasa bagi Program Putra Wizarding Bee untuk sesi ini


Sesi bergambar bersama semua para peserta, juri, ahli jawatankuasa, dan wakil pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee

Menurut pengarah program, Kamal Hafizi Bin Kamarulizam, "Putra Wizarding Bee direka bukan sahaja sebagai pertandingan mengeja, tetapi sebagai sambutan pengetahuan, ketabahan, dan keyakinan diri. Menyedari keperluan untuk pelajar mengakses karya dalam bahasa Inggeris secara meluas, kami berusaha melalui program ini untuk menyokong pelajar dalam menguasai bahasa, mengembangkan perbendaharaan kata mereka, dan memperhalusi kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif." Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya malah meninggalkan kesan positif terhadap para peserta dan penonton.

Tarikh Input: 12/02/2025 | Kemaskini: 12/02/2025 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (10:06:48am-10:11:48am, 20 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]