Smart Saving | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » Smart Saving

Smart Saving

 

Disediakan oleh: Aina Balqis binti Mat Jais

18 Januari 2025, Serdang - Sekretariat Jaringan Alumni dan Kerjaya, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah berjaya menganjurkan program Smart Saving pada 18 Januari 2025. Program ini telah diadakan secara fizikal yang bertempat di Bilik Tutorial 1 dan 2, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, dengan penyertaan seramai 23 orang pelajar Universiti Putra Malaysia.

Program ini bertujuan untuk membantu para pelajar memperoleh kemahiran menguruskan kewangan, merangka masa depan impian, serta mengasah bakat mereka dalam ilmu menabung. Taklimat ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Cik Norfadliza Minhat yang merupakan Wealth Managing Director dan Public Relation Manager dari TSI Wealth Planners Sdn. Bhd. serta merupakan Chief Love Officer dari TSI Group. Sepanjang program ini berlangsung, beliau telah berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam bidang pengurusan kewangan.

 

Ketibaan dan pendaftaran peserta Smart Saving

Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan pendaftaran para peserta serta sarapan pagi yang disediakan oleh pihak penganjur. Para peserta telah disediakan satu kad tanda nama, sekeping mounting board serta sehelai kertas bercetak gambar bagi kegunaan semasa sesi aktiviti. Peserta juga diberi kebebasan untuk duduk di kerusi yang disediakan, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk beramah mesra dan membuat kenalan baru.

 

Nyanyian lagu Negaraku dan lagu Putra Gemilang

Seterusnya, program diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Putra Gemilang. Program juga telah disempurnakan dengan bacaan doa oleh saudara Adam Faruq. Selanjutnya, program diteruskan dengan sesi pengenalan dari Cik Norfadliza Minhat yang dapat membantu para peserta untuk mengenali beliau dengan lebih mendalam lagi. Sesi Ice Breaking peserta juga telah dibuat, dimana para peserta dapat berkongsi tujuan dan ekspektasi mereka hadir ke program Smart Saving ini.

Penceramah (Cik Norfadliza Minhat) berinteraksi secara langsung dengan peserta

Dalam sesi perkongsiannya, Cik Norfadliza Minhat telah menekankan kepentingan memahami asas penabungan, serta kepentingan meletakkan satu sasaran dan matlamat dalam menabung bagi memotivasikan diri. Beliau juga telah berkongsikan cara untuk mengira belanjawan untuk menentukan jumlah wang yang boleh disisihkan untuk menabung setiap bulan.

Aktiviti pembuatan dream board peserta

Sesi perkongsian tersebut turut disusuli dengan aktiviti interakftif bersama peserta, di mana para peserta diminta untuk membuat sebuah dream board dengan bahan yang telah dibekalkan semasa pendaftaran. Tujuan pembuatan dream board ini adalah untuk memberikan visualisasi atau gambaran tentang kehidupan masa hadapan yang diidamkan, agar dapat memberikan semangat serta motivasi kepada peserta untuk kekal disiplin dalam menabung. Cik Norfadliza Minhat juga memberikan maklum balas langsung terhadap hasil kerja peserta, serta memberi peluang kepada mereka untuk membentangkan dream board buatan mereka.

Sesi pemberian cenderahati kepada penceramah (Cik Norfadliza Minhat)

Sesi penghargaan dan pemberian cenderahati telah dilaksanakan pada akhir program, yang disampaikan oleh pengarah program Smart Saving, pelajar tahun dua Kursus Doktor Perubatan Veterinar, Izzdiyani Irnatasha. Seribu penghargaan telah diucapkan kepada Cik Norfadliza Minhat atas kesudian beliau menghadirkan diri sebagai penceramah program Smart Saving.

Program ini bertujuan untuk mewujudkan budaya menabung yang berterusan di kalangan pelajar KTMB. Melalui program ini, peserta diharapkan dapat menguasai kemahiran pengurusan kewangan dan membentuk tabiat menabung yang kukuh untuk masa depan mereka. Diharapkan program ini menjadi titik permulaan untuk melahirkan generasi mahasiswa yang lebih bijak dalam merancang kewangan mereka dan memberi kesan positif kepada komuniti.

Sesi fotografi peserta Smart Saving bersama penceramah

Tarikh Input: 12/02/2025 | Kemaskini: 12/02/2025 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
X, (06:59:38am-07:04:38am, 05 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]