Sukan Rakyat Piala Tan Sri Mustaffa Babjee 4.0 Angkat Warisan Budaya
Disediakan oleh: Ng Jen Yee
Serdang, 11 Januari 2026 - Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah berjaya menganjurkan program Sukan Rakyat 4.0 (SURAK 4.0) pada 11 Januari 2026 (Ahad). Program ini telah diadakan secara fizikal bertempat di sekitar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia dengan penyertaan seramai 1500 orang pelajar UPM.

Gambar 1: Sesi fotografi peserta, penyokong dan penganjur bersama tetamu kehormat
Program ini mempertandingkan sebanyak 12 acara permainan tradisional antara kolej bagi memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan kesukanan dalam kalangan pelajar di samping memelihara serta memartabatkan warisan budaya permainan tradisional Malaysia.
Program dimulakan dengan pendaftaran peserta dan acara senam seni yang disertai oleh para peserta sebagai pemanas badan sebelum pertandingan bermula. Acara senam seni telah dikendalikan oleh wakil pelajar Kelab Arustika Putrasakti. Pertandingan permainan tradisional telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Antara permainan yang dipertandingan pada sesi pagi termasuk congkak, colek lidi, batu seremban, boling kelapa, kabaddi dan sepak takraw yang dijalankan di sekitar kolej.

Gambar 2: Pertandingan tarik tali
Sesi penyampaian hadiah bagi sesi pertama telah disempurnakan oleh Puan Norlida binti Zamberi, Penolong Pendaftar Kanan KTMB bersama Dr. Ansarul Haq bin Tahrir Adli, Ketua Felo KTMB. Majlis ini turut menyaksikan pengiktirafan kepada para pemenang dari pelbagai kolej yang telah menunjukan prestasi cemerlang. Program diteruskan pada sesi petang dengan pertandingan tarik tali, lari dalam guni, galah panjang, guli duo, ceper dan dam aji yang terus menyemarakkan suasana dengan sorakan dan sokongan para peserta serta hadirin yang lain.

Gambar 3: Pertandingan lari dalam guni
Selain itu, program ini turut dimeriahkan dengan adanya gerai jualan makanan yang beroperasi di kawasan food market yang telah ditetapkan di sepanjang jalan Blok A dan Blok B. Pelbagai jenis makanan dan minuman disediakan bagi kemudahan para peserta, jawatankuasa pelaksana serta pengunjung sepanjang program berlangsung.
Gambar 4: Food Vendor
Majlis Penutup SURAK 4.0 telah diadakan pada jam 5.00 petang dimulai dengan ucapan daripada Pengarah Program dan Pengetua KTMB diikuti sesi penyampaian hadiah bagi sesi kedua serta pengumuman Johan Keseluruhan SURAK 4.0. Program ini melabuhkan tirainya pada jam 6.30 petang dengan kerjasama semua jawatankuasa pelaksana dalam memastikan kelancaran dan kebersihan kawasan program.

Gambar 5: Sesi fotografi bersama juara keseluruhan
Tarikh Input: 25/02/2026 | Kemaskini: 25/02/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia