Oleh: Muhammad Norafni bin Alias,
Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian,
Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) sesi 2024/2025
SURAK 3.0: Wadah Perpaduan Melalui Permainan Tradisional
SERDANG, 15 Januari 2025 – Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan Sukan Rakyat (SURAK) Piala Tan Sri Mustaffa Babjee 3.0. Program ini telah berlangsung pada 12 Januari 2025 bertempat di sekitar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dengan penyertaan daripada 151 orang pelajar KMB serta sokongan daripada Pihak Pengurusan Kolej dan Kesatuan Mahasiswa. Penyertaan telah dibahagi kepada 58 orang peserta yang mewakili KMB dan 93 orang ahli jawatankuasa pelaksana.
Program ini adalah program interkolej tahunan yang juga merupakan kesinambungan daripada dua edisi terdahulu. Penganjurannya bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan budaya warisan permainan tradisional dalam kalangan belia di UPM di samping mewujudkan semangat kesukanan, daya saing yang sihat serta perpaduan erat antara kaum. Bagi edisi kali ini, 12 buah acara telah dipertandingkan antaranya, congkak, colek lidi, tuju tin, tarik tali, guli duo, dam aji, gusti lengan, kabaddi, galah panjang dan sepak takraw, termasuk 2 acara baharu iaitu batu seremban dan ceper. Sebanyak 9 buah kolej-kolej kediaman telah bertanding dalam interkolej tahunan ini.
SURAK 3.0 membuka tirai dengan acara Senam Seni yang telah diketuai oleh beberapa ahli Arustika Putrasakti setelah selesai sesi pendaftaran. Tepat jam 9.05 pagi, kesemua acara yang dipertandingkan bagi SURAK 3.0 dimulakan serentak. SURAK 3.0 kemudian berehat seketika dan dijamu dengan halwa telinga iaitu persembahan daripada Saudari Venessa Ann dan Saudara Ng Yu Kuan yang juga merupakan wakil finalis KMB bagi Senada Putra 17 pada bulan Mei nanti. SURAK 3.0 juga diserikan dengan jualan makanan dan minuman dari 11 buah vendor foodtruck dan menjadi antara tumpuan utama bagi para pengunjung. Antara pilihan makanan dan minuman yang tersedia ialah Takoyaki, kebab, Char Kuey Teow , Pisang cheese dan pelbagai lagi. SURAK 3.0 menerima sumbangan minum petang dan manisan daripada atlet gimnastik artistik negara, En Sharul Aimy Kamaru Hisam.

Acara Congkak Yang Berlangsung pada Sesi Pagi

Acara Tarik Tali Lelaki Yang Berlangsung pada Sesi Petang

Aneka foodtruck dan gerai yang tersedia sepanjang SURAK 3.0 berlangsung
Majlis Penutup SURAK 3.0 telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Amini Amir bin Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej-Kolej Kediaman, Universiti Putra Malaysia serta jemputan YBrs. Prof Madya Dr. Nurul Hayah binti Khairuddin, Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Turut hadir ialah Dr. Mohd Hakiman bin Awang @ Mansor, Pengetua Kolej Pendeta Za’ba, barisan pegawai tadbir, felo-felo dan presiden-presiden kolej kediaman Universiti Putra Malaysia. Majlis menyaksikan penyampaian hamper penghargaan kepada setiap kolej dan pingat kepada pemenang-pemenang acara yang telah dipertandingkan. SURAK 3.0 ini menyaksikan Kolej Dua Belas (K12) merangkul gelaran Juara Keseluruhan dan membawa pulang piala pusingan setelah berjaya mengutip mata kumulatif tertinggi daripada penglibatan acara-acara yang telah disertai.

Kolej 12 dijulang selaku Juara Keseluruhan SURAK 3.0

Sekitar Majlis Penutup Sukan Rakyat (SURAK) Piala Tan Sri Mustaffa Babjee 3.0
Pengarah program, pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti dengan Kepujian, Saudara Muhammad Norafni bin Alias berkata “ Program Sukan Rakyat (SURAK) Piala Tan Sri Mustaffa Babjee 3.0 ini dapat memberi impak yang tinggi terhadap mengukuhkan pemerkasaan warisan permainan tradisional dalam kalangan pelajar di UPM. Selain itu, program ini juga dapat memupuk semangat cinta akan budaya warisan tanah air dan daya saing yang sihat dalam kalangan pelajar”
Jutaan ucapan terima kasih diucapkan kepada para peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsungdalam menjayakan program Sukan Rakyat (SURAK) Piala Tan Sri Mustaffa Babjee 3.0 kali ini. Diharapkan melalui program ini, dapat menyemarakkan minat dan sikap cinta akan budaya dan tradisi negara serta menjadikan permainan tradisional dan rakyat ini sebagai wadah perpaduan dalam kalangan masyarakat. Semoga usaha SURAK ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Tarikh Input: 12/02/2025 | Kemaskini: 12/02/2025 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia