SERDANG, 10 OKT – Seramai 412 orang pelajar baharu yang terdiri daripada 102 orang pelajar lelaki dan 310 pelajar perempuan telah berjaya mendaftar masuk di Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee UPM pada 5 Oktober 2024 bagi kemasukan pelajar baharu Universiti Putra Malaysia sesi akademik 2024/2025 dengan kerjasama dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, WAZAN, dan pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UPM. Majlis pendaftaran pelajar baharu yang telah diadakan di perkarangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah teknikal.
Proses pendaftaran bermula seawal jam 8:00 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang telah dihadiri oleh para pelajar daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Ketibaan ibu bapa disambut oleh petugas yang terdiri daripada staf kolej, felo, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) dan Fasilitator Universiti(FU) yang telah diarahkan membantu sepanjang proses pendaftaran berlansung.

Pelajar baharu diberi taklimat ringkas oleh MPK

Kaunter semakan e-pendaftaran

Pelajar menyemak samula dokumen dan mengisi google form data pendaftaran pelajar baharu

Kaunter semakan e-daftar
Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee mengambil inisiatif dengan mengedar bahan rujukan seperti flyers makluman berkenaan check point yang boleh dijadikan panduan kepada pelajar semasa proses pendaftaran berlangsung. Flayers ini bertujuan memberi penunjuk arah berkenaan kaunter pendaftaran, blok kediaman pelajar, gerai jualan makanan, serta fasiliti dan kemudahan yang disediakan seperti tandas dan surau bagi kegunaan waris dan pelajar baharu. Bukan itu sahaja, sebagai tuan rumah Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee turut menyediakan makanan dan air minuman percuma kepada para pelajar baharu dan ibu bapa di khemah menunggu.

Penyediaan air dan makanan percuma di khemah menunggu ibu bapa

Pergerakan pelajar baharu untuk masuk ke bilik pelajar setelah selesai proses pendaftaran
Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Profesor Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin, dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu dan menekankan kepentingan kecemerlangan akademik serta penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.
Pada sebelah malamnya pula, turut diadakan Majlis Bersama Pengetua di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan bagi pengenalan pihak pengurusan kepada pelajar baharu berkenaan organisasi pentadbiran kolej, barisan staf, barisan felo, barisan Majlis Perwakilan Kolej, fasiliti dan kemudahan, serta yang paling utama adalah peraturan pelajar yang menginap di kolej-kolej kediaman Universiti Putra Malaysia.

Ucapan oleh Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Prof. Madya Dr, Nurul Hayah binti Khairuddin

Pengenalan barisan staf kolej
Secara umumnya, kolej ini menempatkan pelajar-pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Perubatan Veterinar secara khususnya. Keseluruhannya, terdapat 4 blok bangunan kediaman pelajar iaitu blok A, blok B dan C bagi pelajar wanita serta blok D bagi pelajar lelaki.
Untuk makluman, pada tanggal 26 Jun 2022, penamaan semula Kolej Tujuh Belas kepada Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee bersempena nama Allahyarham Tan Sri Ahmad Mustaffa Babjee. Pertukaran nama tersebut merupakan satu inisiatif yang diambil oleh pengurusan UPM dalam usaha penjenamaan semula nama-nama kolej kediaman berinspirasikan nama tokoh terkemuka yang berkaitan dengan bidang pengajian pelajar.
Sepanjang minggu ini, pelajar baharu akan mengikuti Minggu Orientasi yang dinamakan sebagai Minggu Perkasa Putra yang dirangka bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti, termasuk sesi taklimat, aktiviti orientasi, dan lawatan kampus.
Pihak Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee amat berbesar hati menerima maklum balas yang positif daripada ibu bapa dan pelajar berkenaan kolej dan perkhidmatan yang disediakan berjaya mencuri hati para pelawat yang datang bertandang ke kolej.
Akhir kata, pihak Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Pelajar Baharu Sesi 2024/2025!
Tarikh Input: 14/10/2024 | Kemaskini: 16/10/2024 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia