Teach The Needs 8.0 | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » Teach the Needs 8.0

Teach the Needs 8.0

Inisiatif Pendidikan Percuma di PPR Ukay Indah: Program Teach the Needs 8.0 Terus Membara Demi Anak Bangsa

Oleh: Muhammad Ammar Irfan bin Mohd Shakir

Ampang, 4 Julai 2025 – Semangat kesukarelawanan kembali semula menyinari Pangsapuri Ukay Indah, Kuala Lumpur menerusi penganjuran Teach the Needs 8.0, sebuah program pendidikan percuma yang dianjurkan oleh Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 24 dan 25 Mei 2025, bertujuan menyokong pendidikan anak-anak daripada keluarga B40 di kawasan berkenaan.

Program ini diserikan dengan kehadiran Cik Ezza Sabrina Binti Azmi, Felo Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, dan turut melibatkan wakil JMB Ukay Indah, Encik Mohd Yusof Che Mansor, serta Puan Hajah Norliza Haji Bohari, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Ukay Indah, Kuala Lumpur.

Seramai 38 sukarelawan daripada kalangan mahasiswa UPM telah turun padang bagi menjalankan sesi pembelajaran bersama 38 orang pelajar berumur antara 7 hingga 12 tahun.  Kelas-kelas yang diadakan bermula seawal jam 9.00 pagi dan melibatkan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Dalam usaha untuk menjayakan program Teach The Needs, sumbangan daripada pihak penaja memainkan peranan yang amat penting. Kembara Kitchen, Santapan, Hari-Hari, Vida, Free Malaysia Today dan Asian News Today turut tampil memberikan sokongan melalui sumbangan pelbagai bentuk seperti makanan, minuman, barangan keperluan serta liputan media bagi menjayakan program. Sokongan padu daripada syarikat-syarikat ini bukan sahaja membantu kelancaran program, malah turut memperluas capaian dan kesedaran masyarakat terhadap inisiatif pendidikan ini.

Sukarelawan pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sedang mengajar kanak-kanak.

Sukarelawan pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee sedang mejalankan sesi permainan bersama kanak-kanak penduduk PPR Ukay Indah, Ampang.

Menyalur Ilmu, Menanam Keyakinan

Majlis penutupan yang diadakan pada hari kedua program, iaitu 25 Jun 2025 menyaksikan kehadiran ibu bapa dan penjaga yang datang memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka. Pada majlis tersebut, para peserta menerima sijil penyertaan, alat tulis, serta sebuah beg sumbangan daripada jenama Hari-Hari, sebagai simbol galakan dan motivasi untuk mereka terus melangkah jauh dalam dunia pendidikan.

Menurut Saudari Khoo Xue Hui, program ini bukan hanya tertumpu kepada aspek pembelajaran akademik semata-mata, tetapi juga bertujuan untuk merapatkan jurang akses kepada pendidikan dan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. “Kami mahu anak-anak ini tahu bahawa mereka mampu mencapai apa yang mereka impikan, dan sokongan kecil seperti ini boleh jadi titik mula kepada kejayaan mereka,” jelasnya.

Ucapan oleh Saudari Khoo Xue Hui (Pengarah Program Teach the Needs 8.0), telah disampaikan kepada semua peserta dan sukarelawan sempena penutupan rasmi program.

Menyuluh Jalan, Mengubah Masa Depan

Teach The Needs 8.0 sekali lagi membuktikan bahawa sokongan masyarakat dan institusi pendidikan mampu mencetuskan perubahan bermakna. Penglibatan aktif pelajar universiti dan sokongan komuniti setempat menjadikan program ini satu pendekatan holistik dalam memperkasakan pendidikan.

Sebagai penutup, usaha ini melambangkan komitmen Universiti Putra Malaysia terhadap tanggungjawab sosial dan diharap mampu mencetuskan lebih banyak inisiatif seumpamanya oleh institusi lain di masa akan datang.

Kanak-kanak penduduk PPR Ukay Indah, Ampang sedang menerima cenderamata, beg tajaan jenama Hari-Hari dan sijil dari sukarelawan pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.

Turut hadir bergambar keseluruhan, dari kiri: Encik Mohd Yusof Che Mansor (Wakil JMB Ukay Indah), Saudari Khoo Xue Hui (Pengarah Program Teach the Needs 8.0), Cik Ezza Sabrina Binti Azmi (Felo Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee) dan Puan Hajah Norliza binti Haji Bohari (Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Ukay Indah). 

 

Tarikh Input: 04/07/2025 | Kemaskini: 04/07/2025 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (07:02:48am-07:07:48am, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]