8 Oktober 2022 – Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Itulah peribahasa yang tersemat di dalam jiwa warga pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia yang terdiri daripada staf pentadbiran kolej serta felo kediaman. Menyedari akan kepentingan semangat kerjasama dan berpasukan, suatu program berbentuk kursus team building dan pengurusan aktiviti telah pun dianjurkan pada 2 hingga 4 September 2022 (3 hari 2 malam) di Asia Camp Resort, Taman Negara Pahang melibatkan kesemua warga pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.
Antara objektif program ini diadakan adalah untuk dijadikan suatu platform buat semua ahli pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee bagi mempraktikan semangat kerjasama, interaksi positif, dan penjanaan idea dalam meningkatkan kualiti dan mutu kerja yang lebih efektif pada masa akan datang. Di samping itu, ianya juga dapat meningkatkan perasaan bertanggungjawab, moral dan kepuasaan bekerja dalam seseorang individu tersebut. Hal ini demikian, mereka sama-sama diberi peluang untuk menyelesaikan masalah serta bertanggungjawab akan keputusan yang diambil secara berkumpulan. Akhir sekali, melalui program ini, ianya juga secara tidak langsung dapat membina keseimbangan intelek, jasmani, emosi dan rohani semasa program dijalankan menerusi pelbagai bentuk perbincangan serta latihan dalam kumpulan yang disediakan.
Pelbagai bentuk pengisian serta latihan dalam kumpulan telah diselitkan dalam program ini bagi membentuk dan menguji ketahanan fizikal serta kesejahteraan mental peserta. Sebagai contoh, antara aktiviti fizikal yang diadakan ialah, ice breaking, night walk dan canopy walk. Di samping itu, aktiviti berbentuk perbincangan dan taklimat berkaitan hala tuju serta sasaran Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee turut dijalankan. Antaranya ialah taklimat sasaran kolej serta Key Performance Index (KPI) bagi tahun 2022 dan 2023 oleh Pegawai Tadbir Kolej, Pn. Askina binti Aziz, pembentangan cadangan takwim aktiviti pelajar bagi sesi 2022/2023 oleh Ketua Felo Kolej, Pn. Siti Aishah binti Hamzah, dan bengkel berkaitan Keselamatan Pekerja dan Standard Operating Procedure (SOP) pengurusan kolej dan felo kolej kediaman.
Akhir kata, besarlah harapan pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, YBrs. Prof. Madya. Dr. Jasronita binti Jasni agar dapat melihat warga pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee yang terdiri daripada staff pentadbiran kolej serta felo kolej, terus maju kehadapan dan dapat menaikkan nama kolej di peringkat university serta lebih tinggi. Semoga kerjasama dan semangat berpasukan yang terjalin utuh sewaktu kursus team building dan pengurusan aktiviti selama 3 hari 2 malam dapat terus dikekalkan dan dimanfaatkan dalam menjalankan tugas yang mendatang selaras dengan laungan keramat warga Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, “Berilmu, Bertaqwa dan berjasa”.




Tarikh Input: 08/10/2022 | Kemaskini: 08/10/2022 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia