Oleh: Siti Adawia, npres.mpkktmb.2425@gmail.com
Serdang, 14 November 2024 - Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) baru-baru ini telah menganjurkan dua sesi khas Townhall: Majlis Perjumpaan Pengetua bersama Pelajar Doktor Perubatan Veterinar dan Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM pada 12 dan 14 November 2024 bertempat di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, bertujuan merapatkan hubungan antara pihak pengurusan kolej, pengurusan fakulti dan para pelajar KTMB. Majlis ini juga merupakan satu inisiatif untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan kolej, di samping memastikan setiap pelajar yang hadir dapat memperoleh informasi dan bimbingan yang bermanfaat.
Sesi pertama melibatkan pertemuan bersama pelajar Doktor Perubatan Veterinar, di mana Pengetua KTMB, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin, mendapat sokongan penuh daripada Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Perubatan Veterinar, YBhg. Prof. Dr. Jalila binti Abu, yang turut hadir. Sesi kedua pula melibatkan pelajar Perubatan dan Sains Kesihatan, yang turut disertai oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, YBhg. Prof. Dr. Normala Ibrahim, serta Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan Hal Ehwal Pelajar & Alumni), YBhg. Prof. Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof.

Ucapan daripada Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof. Dr. Jalila binti Abu

Ucapan daripada Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, YBhg. Prof. Dr. Normala Ibrahim
Pengetua KTMB menyampaikan hasrat beliau berkenaan sistem merit dan demerit kolej, serta strategi untuk mendapatkan penginapan bagi sesi hadapan. Dalam perkongsian tersebut, Prof. Madya Dr. Nurul Hayah menekankan kepentingan kebersamaan antara pihak pengurusan fakulti, kolej dan para pelajar dalam memastikan suasana yang kondusif dan harmoni di kolej dapat dikekalkan. Beliau menasihati pelajar untuk menggunakan setiap peluang yang ada bagi memperkaya pengalaman mereka, sambil mengingatkan bahawa kejayaan mereka turut membawa nama baik kolej dan fakulti. Pesanan ini mencerminkan aspirasi beliau agar pelajar KTMB tampil sebagai individu yang mampu menyeimbangkan aspek akademik dan keperluan sosial yang bakal mereka hadapi di alam pekerjaan.

Sesi perkongsian daripada Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin
Sesi soal jawab turut diadakan untuk memberi peluang kepada pelajar menyuarakan pandangan, cadangan, serta isu-isu yang ingin dikongsi bersama pihak pengurusan. Dalam majlis ini, Timbalan Dekan Akademik, Prof. Dr. Jalila binti Abu, memberikan kata-kata motivasi kepada pelajar Doktor Perubatan Veterinar yang hadir, mengingatkan mereka akan tanggungjawab besar yang perlu digalas dalam bidang veterinar dan pentingnya sumbangan mereka kepada masyarakat. Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Dr. Normala Ibrahim, turut menyampaikan ucapan yang menekankan peranan penting pelajar dalam mendukung hasrat kolej dan fakulti, terutama dalam bidang perubatan dan sains kesihatan. Pihak fakulti komited untuk terus memberikan sokongan penuh dalam usaha memupuk kesejahteraan dan pembangunan menyeluruh para pelajar, baik dari segi akademik mahupun kehidupan kampus. Kolaborasi yang kukuh ini dipercayai dapat menyokong setiap pelajar dalam mencapai kejayaan mereka dalam bidang masing-masing.
Program TownHall ini telah mendapat sambutan baik daripada para pelajar yang hadir, mencerminkan komitmen kolej dan fakulti dalam memperkukuh komunikasi antara pelajar dan pihak pengurusan. Diharapkan, program seperti ini akan terus dilaksanakan sebagai satu medium pemerkasaan para pelajar dalam menghadapi cabaran masa depan, dan melahirkan graduan yang holistik.

Sesi fotografi bersama para pelajar Doktor Perubatan dan Sains Kesihatan, FPSK yang turut hadir

Sesi fotografi bersama para pelajar Doktor Perubatan Veterinar, FPV yang turut hadir
Tarikh Input: 15/11/2024 | Kemaskini: 15/11/2024 | adib

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia