Disediakan oleh: Joyce Gan Jia Huey
5 April 2026, Serdang – Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, sesi 2025/2026 telah menganjurkan program VisionLead; Bound To Society 4.0 di Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER). Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar melalui aktiviti interaktif dan sesi perkongsian. Seramai 35 pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 120 pelajar SASER telah menyertai program ini.
Program dimulakan pada 8.30 pagi dengan sesi ice breaking di Dewan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) untuk mewujudkan suasana mesra serta membina keyakinan diri peserta. Seterusnya, aktiviti Tower Challenge dijalankan pada jam 9.00 pagi, di mana pelajar perlu membina menara yang paling tinggi dan kukuh dengan menggunakan straw. Aktiviti ini bertujuan untuk mengasah kemahiran kerjasama berpasukan dan komunikasi yang berkesan dalam menyelesaikan cabaran.

Aktiviti Tower Challenge di Dewan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER)
Selepas waktu rehat pelajar, program diteruskan dengan slot Leadership Relay yang merangkumi beberapa aktiviti berasaskan stesen. Slot ini menguji kebolehan peserta dalam membuat keputusan, menyelesaikan masalah serta memimpin kumpulan. Dalam stesen pertama, para pelajar diberikan satu topeng untuk menutup mata kecuali ketua. Seterusnya, semua pelajar memegang tali yang telah diikat pada sebatang pen, dan ketua kumpulan perlu memberikan arahan kepada ahli kumpulan untuk memasukkan pen tersebut ke dalam botol air mineral. Stesen kedua merupakan satu permainan yang memerlukan setiap pelajar memegang sekeping tikar dan bekerjasama untuk menggerakkan bola masuk ke dalam lubang yang telah ditetapkan. Stesen yang seterusnya, para pelajar perlu memegang tali dan bekerjasama untuk mengawal pergerakan bagi menyusun cawan-cawan menjadi sebuah menara. Dalam stesen yang keempat, setiap pelajar perlu mengikat sebuah cawan pada bahagian dahi dan menggunakan cawan tersebut untuk mengutip bola pingpong dari dalam bekas, sebelum memindahkannya ke dalam botol. Akhir sekali, di stesen terakhir, para pelajar berdiri dalam satu bulatan sambil menyilangkan tangan dan memegang tangan rakan secara rawak. Kemudian, ketua kumpulan memberikan arahan untuk membantu semua ahli menguraikan simpulan tersebut tanpa melepaskan pegangan tangan. Semua aktiviti ini menekankan kepentingan komunikasi, kesabaran dan kerjasama.

Permainan stesen 1 bagi slot Leadership Relay

Permainan stesen 3 bagi slot Leadership Relay
Pada jam 1.45 petang, aktiviti Simulasi Pemimpin dijalankan di mana semua kumpulan diberikan situasi kepimpinan dan pelajar dikehendaki mencadangkan beberapa solusi sebelum membentang. Aktiviti ini membantu pelajar memahami peranan pemimpin dalam membuat keputusan serta mengurus konflik dengan berkesan.

Aktiviti Simulasi Pemimpin bagi program VisionLead; Bound To Society 4.0
Program diteruskan dengan slot Bicara Kepimpinan pada jam 2.30 petang yang dikendalikan oleh pengarah program, iaitu saudari Joyce Gan. Beliau berkongsi pengalaman, cabaran serta nilai-nilai penting dalam kepimpinan yang memberi inspirasi serta meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan kemahiran kepimpinan dalam kehidupan seharian.
Majlis penutup bermula pada jam 3.00 petang dengan ucapan daripada pengarah program, Pengetua Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) serta pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee. Seterusnya adalah sesi penyampaian cenderahati serta hadiah kepada kumpulan terbaik dan peserta terbaik, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar.

Sesi bergambar bersama dengan pengetua, peserta dan ahli jawatankuasa program
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memupuk keyakinan diri, meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis serta memperkukuh kebolehan komunikasi dan kerjasama dalam kalangan pelajar. Diharapkan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian dan masa hadapan.
Tarikh Input: 09/07/2026 | Kemaskini: 09/07/2026 | s_syazana

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia