VitalCare ; Bound To Society 3.0 | KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
» BERITA » VitalCare ; Bound to Society 3.0

VitalCare ; Bound to Society 3.0

VitalCare ; Bound to Society 3.0

 

Disediakan oleh: Kamal Hafizi Bin Kamarulizam

Serdang – Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, sesi 2024/2025, dengan kerjasama Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Pahang telah menganjurkan program VitalCare; Bound to Society 3.0 bertempat di Surau Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor. Program ini merupakan kesinambungan daripada program NutriConnect: Bound to Society 2.0 pada sesi 2023/2024 di mana ianya adalah sesi penyampaian ilmu pertanian kepada komuniti sasaran. Program kali ini bertemakan kesihatan mental dan kepimpinan, sejajar dengan keperluan semasa generasi muda dalam membina jati diri dan kecerdasan emosi. Seramai 30 orang pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) dan 100 orang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor telah hadir untuk menyertai program ini.

Kami berbesar hati untuk menerima En. Logavenosh A/L Ragawan, Pegawai Psikologi, Hospital Sultan Abdul Aziz (HSAAS) sebagai penceramah bagi program kami. Beliau merupakan seorang graduan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Gred S41 di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia. Di samping jawatannya sebagai Pegawai Psikologi, beliau telah banyak menyumbang khidmat dan kepakaran dalam bidang intervensi psikologi, kaunseling, serta sokongan psikososial kepada pesakit dan warga kerja hospital. Pengalaman serta dedikasi beliau dalam bidang psikologi amat dihargai dan diyakini mampu memberi manfaat besar kepada semua peserta program ini.

Program bermula pada jam 10.00 pagi dengan ketibaan para pelajar dari Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee di Surau Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor. Majlis diteruskan dengan slot perkongsian pertama yang disampaikan oleh Cik Neo Yong Qian, wakil daripada Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia. Dalam perkongsian tersebut, beliau membentangkan pandangan mengenai kepimpinan berkesan, termasuk ciri-ciri utama yang perlu ada pada seorang pemimpin. Sesi ini telah memberi pendedahan yang bermanfaat kepada para pelajar dalam usaha membina kemahiran insaniah serta memupuk nilai kepimpinan. Perkongsian berakhir pada jam 11.00 pagi, diikuti dengan sesi fotografi kenangan bersama para pelajar.

Pada sesi rehat, para pelajar turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan permainan yang disediakan di booth-booth bertempat di kawasan foyer surau. Antara booth yang disediakan termasuk booth jualan, booth kesihatan mental, booth kesihatan fizikal, booth penjagaan diri, booth pemakanan seimbang dan booth jualan. Di samping menikmati permainan interaktif yang disediakan, para pelajar juga dapat menimba ilmu berkaitan dengan cara menangani isu kesihatan mental, kesihatan fizikal, penjagaan diri dan pemakanan seimbang.

Ketibaan para pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee di Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Pahang

Slot perkongsian pertama yang disampaikan oleh saudari Neo Yong Qian berkaitan kepimpinan

Para pelajar melawat dan menyertai permainan di booth yang disediakan

 

Slot perkongsian kedua yang disampaikan oleh penceramah jemputan

Pada jam 2.00 petang, program diteruskan dengan slot perkongsian kedua yang disampaikan oleh En. Logavenosh A/L Ragawan, Pegawai Psikologi dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Dalam sesi ini, beliau berkongsi ilmu berkaitan Rawatan Kecemasan Kesihatan Mental, termasuk penerangan tentang pelbagai jenis penyakit mental dan kaedah yang sesuai untuk menanganinya. Perkongsian ini amat bermanfaat dalam meningkatkan kesedaran dan keprihatinan pelajar terhadap isu kesihatan mental, sekali gus membantu mereka mengenal pasti tanda awal dan cara memberi sokongan kepada individu yang memerlukan. 

Slot perkongsian kedua berakhir pada jam 3.30 petang. Majlis kemudian diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah, Encik Logavenosh A/L Ragawan, diikuti sesi fotografi bersama penceramah, pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, serta ahli jawatankuasa program. Program berakhir sekitar jam 5.00 petang dengan keberangkatan pulang pelajar ke Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.

Sesi fotografi bersama penceramah, pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor dan ahli jawatankuasa

Menurut pengarah program, Kamal Hafizi Bin Kamarulizam, "Harapan saya bagi Program Bound To Society ini adalah agar ia dapat menjadi platform yang banyak memberi ilmu pengetahuan baharu khususnya kepada pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor dimana ilmu ini sukar diperoleh di dalam bilik darjah." Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya malah meninggalkan kesan positif terhadap para pelajar.

Tarikh Input: 05/07/2025 | Kemaskini: 05/07/2025 | s_syazana

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI MUSTAFFA BABJEE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (02:18:49pm-02:23:49pm, 16 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]