LinkedIn 101: Building Your Professional Profile | TAN SRI MUSTAFFA BABJEE COLLEGE
» NEWS » LinkedIn 101: Building Your Professional Profile

LinkedIn 101: Building Your Professional Profile

Program LinkedIn 101: Building Your Professional Profile Jadi Platform Pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee Bina Kredibiliti Kerjaya

Oleh: Hudhaifi Zahry

Serdang - Sekretariat Pendigitalan dan Komunikasi Korporat (SPK), Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) sesi 2024/2025, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program LinkedIn 101: Building Your Professional Profile di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia. Program ini telah diadakan pada 22 Disember 2024 dengan penyertaan 70 orang pelajar KMB serta sokongan daripada pihak pengurusan KMB dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. Seramai 70 orang terlibat terdiri daripada 50 orang peserta dan 20 orang ahli jawatankuasa pelaksana.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk berkongsi tentang penggunaan LinkedIn kepada pelajar. Ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan LinkedIn sebagai platform profesional untuk membina profil peribadi yang menarik dan berkesan. Program ini juga membantu pelajar memahami cara mengisi maklumat penting dan memberi pendedahan kepada pelajar tentang strategi mencari peluang kerjaya dan membina jaringan profesional melalui platform LinkedIn.

Pengarah program, pelajar tahun dua Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, Hanis Zirwatul Hanan binti Ishak, berkata, “Program ini bukan hanya memberi perhatian kepada pekerjaan sahaja tapi ia juga dapat mempromosikan diri bagi meningkatkan nilai yang terdapat pada diri kita dan hasilnya dapat dilihat sewaktu kita hendak mencari peluang pekerjaan.”

Program ini dimulakan dengan sesi pengenalan kepada LinkedIn yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Encik Gerald Lee, pengasas syarikat Touching Hearts Bridging Minds. Dalam ucapannya, beliau berkata, “Ceramah ini bukan hanya ditujukan kepada pelajar tahun akhir, tetapi juga penting untuk semua pelajar. Ia membantu mereka mendapatkan kerjaya yang diminati di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan LinkedIn dalam kalangan pelajar pada masa kini.”

Penceramah jemputan, Encik Gerald Lee sedang menyampaikan perkongsian mengenai pengenalan terhadap LinkedIn

Pada pertengahan Program LinkedIn 101: Building Your Professional Profile, Encik Gerald Lee, seorang pakar dalam membina profil profesional, telah mengendalikan sesi interaktif bersama para peserta. Dalam aktiviti tersebut, peserta diberi peluang memperbaiki profil LinkedIn mereka dengan bimbingan langsung daripada Encik Gerald Lee.

Beliau memberi penekanan terhadap aspek utama di laman LinkedIn seperti gambar profil, sepanduk, tajuk utama dan ringkasan. Setelah selesai melakukan penambahbaikan, peserta dikehendaki menyemak semula profil mereka bersama beliau bagi memastikan ia kelihatan menarik dan profesional.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti, peserta juga dikehendaki membuat satu hantaran di LinkedIn. Hantaran tersebut perlu mengandungi hasil pembelajaran yang diperoleh sepanjang program dan peserta dikehendaki untuk tag akaun LinkedIn Encik Gerald Lee sebagai salah satu strategi untuk menaikkan visibiliti Linkedin pelajar dengan berinteraksi dan berhubung antara satu sama lain di dalam platform tersebut.

Bagi menghargai komitmen peserta, lima peserta terbaik yang menyiapkan tugasan ini telah dipilih untuk menerima buku edisi pertama hasil penulisan Encik Gerald Lee sendiri. Aktiviti ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman peserta mengenai platform LinkedIn, tetapi turut memberi inspirasi dalam membina jenama profesional yang hebat.

Peserta sedang membaiki profil LinkedIn dengan bantuan Encik Gerald Lee

 

Encik Gerald Lee sedang menyemak profil LinkedIn peserta

 

5 peserta yang mendapat buku edisi pertama yang ditulis sendiri oleh Encik Gerald Lee

 Sementara itu, beberapa peserta turut menyuarakan pandangan positif terhadap program ini, menyatakan bahawa ia memberikan pendedahan yang berharga tentang cara membina profil LinkedIn yang menarik dan profesional. Mereka juga menghargai peluang untuk mendapatkan panduan langsung daripada Encik Gerald Lee, yang membantu mereka memahami kepentingan platform ini dalam memperkukuhkan jaringan kerjaya dan menarik perhatian majikan. Program ini turut diakui sebagai langkah penting dalam menyediakan pelajar untuk memasuki dunia pekerjaan dengan lebih yakin.

Diharapkan melalui program ini, para peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh untuk memperbaiki profil LinkedIn mereka serta meningkatkan daya tarikan profesional dari sudut pandangan industri dan majikan yang berpotensi. Selain itu, program ini diharapkan dapat membuka peluang lebih luas dalam membina rangkaian kerjaya yang kukuh dan membantu pelajar mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia pekerjaan dengan lebih yakin dan berkesan.

Selain itu, pihak kolej berharap agar usaha seperti ini dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada kolej-kolej lain untuk mengambil langkah serupa dalam menyediakan pelajar mereka dengan kemahiran yang relevan bagi menghadapi persaingan dunia pekerjaan. Dengan menganjurkan program seperti ini, institusi pendidikan dapat memainkan peranan penting dalam membentuk graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga bersedia untuk membina jaringan profesional yang kukuh dan berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Date of Input: 05/07/2025 | Updated: 05/07/2025 | s_syazana

MEDIA SHARING

TAN SRI MUSTAFFA BABJEE COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
W, (05:00:43pm-05:05:43pm, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]