MENTAL HEALTH AND PSYCHOSOCIAL SUPPORT DURING PANDEMIC COVID-19 | TAN SRI MUSTAFFA BABJEE COLLEGE
» ARTICLE » MENTAL HEALTH AND PSYCHOSOCIAL SUPPORT DURING PANDEMIC COVID-19

MENTAL HEALTH AND PSYCHOSOCIAL SUPPORT DURING PANDEMIC COVID-19

Pandemik COVID-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia. Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketiba berada di dalam keadaan stress yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai. Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

Sumber daripada Polis Diraja Malaysia mendapati, terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019. Sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia.

Masyarakat dipohon untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri seperti;

  1. a) Perubahan tingkah laku kepada individu:
  • Sentiasa kelihatan sedih dan murung;
  • Hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan;
  • Kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa;
  • Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan;
  • Mengalami gangguan tidur dan selera makan;
  • Bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang sekeliling; dan
  • Menyalahguna alkohol dan dadah.
  1. b) Menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga.
    c) Menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

Sekiranya terdapat gejala-gejala yang disenaraikan di atas, individu dinasihatkan agar mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk. Selain daripada itu, orang ramai boleh membantu dengan berkomunisasi secara berkesan dengan individu yang mengalami kemurungan, antaranya seperti:

  1. a) Mengambil serius tentang masalah yang dialami;
    b) Meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka;
    c) Tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka;
    d) Menunjukkan empati dan mengelakkan sikap menghakimi individu tersebut;
    e) Memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat yang terkini bagi mengekalkan perhubungan dengan individu tersebut;
    f) Memberikan sokongan sosial kepada mereka seperti membantu dalam urusan seharian jika diperlukan; dan
    g) Galakkan dan bantu mereka untuk dapatkan penilaian dan rawatan profesional.

Pihak media juga boleh memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat tepat dan mematuhi Garis Panduan Pelaporan Media Yang Bertanggungjawab (Guidelines for Media Reporting on Suicide) yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan KKM tentang tingkah laku bunuh diri.

Masyarakat juga diminta untuk menghormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video ataupun mengedarkan gambar di media sosial tentang individu yang membunuh diri. Bunuh diri boleh dicegah, namun, tindakan viral di media sosial juga boleh mengundang ‘copycat suicide’ bagi mereka yang berisiko.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan sokongan yang diwujudkan seperti;

  1. MHPSSdi 03-29359935 atau 014-3223392
  2. Talian Kasih15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
  3. KSK-CareJAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
  4. BefriendersKuala Lumpur di talian 03-76272929

 

  

 

Sehubungan dengan itu juga, KKM menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia berkenaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun 2021 yang akan membantu rakyat dalam menghadapi kesan sosio-ekonomi pandemik COVID-19 ini. Sumbangan makanan daripada penduduk setempat kepada yang memerlukan amatlah dialu-alukan.

Bagi individu-individu dan isi rumah yang berkelayakan, bantuan kewangan serta pelbagai bantuan lain termasuk berbentuk moratorium pinjaman daripada institusi-institusi berkaitan seperti yang diumumkan YAB Perdana Menteri semalam perlulah dimanfaatkan sebaik, dan perlulah dimohon sekiranya diperlukan.

Budaya peka dan peduli kepada keluarga sendiri, sahabat handai dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan dan sesiapa yang menghadapi masalah dan terkesan dengan pandemik agar mendapatkan pertolongan dan tidak menghadapinya seorang diri. Setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kesihatan mental diri, keluarga, dan komuniti bagi menghadapi pandemik COVID-19 ini.

Date of Input: 11/03/2022 | Updated: 11/03/2022 | s_syazana

MEDIA SHARING

TAN SRI MUSTAFFA BABJEE COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
WXFUGAh~