PROGRAM MENTAL HEALTH AWARENESS WEEK | TAN SRI MUSTAFFA BABJEE COLLEGE
» ARTICLE » PROGRAM MENTAL HEALTH AWARENESS WEEK

PROGRAM MENTAL HEALTH AWARENESS WEEK

KOLEJ TUJUH BELAS - 28 Mac 2022 hingga 2 April 2022 telah berlangsung program kesedaran kesihatan yang bertajuk Mental Health Awareness Week (MHAW) anjuran Sekretariat Pengerusi Blok dan Kebajikan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tujuh Belas, sesi 2021/2022 dengan kerjasama yang melibatkan Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mutakhir ini, masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar universiti bukanlah lagi sesuatu yang asing untuk diperkatakan. Malahan situasi pandemik akibat daripada COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu telah menambah kesulitan kepada seisi masyarakat. Kesulitan yang dialami ini termasuklah juga kesusahan para pelajar untuk menyesuaikan diri dalam norma baru yang mencabar minda dan fizikal mereka. Sejak pandemik ini, isu kesihatan mental semakin luas diperkatakan walaupon sebelum ini isu tersebut merupakan sesuatu yang taboo untuk dibincangkan. Program ini telah menyasarkan penyertaan daripada pelajar UPM secara umumnya di mana kesemua aktiviti yang dijalankan sepanjang minggu ini berlangsung telah berjaya mendapat sambutan yang meriah dan memberangsangkan daripada pelajar Kolej Tujuh Belas dan pelajar UPM yang lain.

Secara keseluruhannya terdapat enam aktiviti yang telah dijalankan sepanjang Mental Health Awareness Week ini berlangsung bermula dengan Pertandingan Poster, Pertandingan Video Pendek dan Instagram Daily Post pada 28 Mac 2022. Kesemua aktiviti ini mengutamakan ‘Kesihatan Mental’ sebagai tema dan dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti ini para pelajar mampu untuk memahami isu kesihatan mental daripada pelbagai sudut berdasarkan topik-topik yang dikongsikan. Pertandingan Video Pendek yang berlangsung dari 28 Mac hingga 2 April 2022, juga telah menggunakan tema ‘Self-care’ dengan bertujuan untuk mengutarakan bahawa ‘Self-care’ ini merupakan elemen penting dalam diri seseorang untuk membendung diri mereka daripada masalah kesihatan mental. Di samping itu, program atas talian yang turut dijalankan pada minggu MHAW ialah Peers to Peers Broadcast yang dijalankan ini bertujuan untuk memupuk nilai kolej penyayang dimana para pelajar sentiasa menghargai dan menyayangi rakan-rakan di sekeliling dengan menyediakan medium untuk para pelajar menyampaikan kata-kata penghargaan kepada rakan mereka dan ucapan-ucapan tersebut telah dibaca ketika siaran langsung di Facebook Live Kolej 17 UPM Rasmi.

Selain, itu melalui kerjasama bersama Jabatan Psikiatri, FPSK, UPM sebuah ceramah dan juga sebuah bengkel telah dijalankan untuk membincangkan kesihatan mental dengan lebih mendalam. Ceramah ‘Youth and Mental Health’ yang bertajuk Anxiety Among College Students’ telah berlangsung pada 31 Mac 2022 dan dikendalikan oleh Dr Ruziana Masiran, Pensyarah Perubatan daripada Jabatan Psikiatri, FPSK. Ceramah ini menyentuh isu kegelisahan dengan mendalam seperti simptom kegelisahan dan cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut. Akhir sekali, sebagai penutup kepada Mental Health Awareness Week ini ,Bengkel Psychosocial Support telah dijalankan pada 2 April 2022 dengan bertajuk ‘Building Resilience in Students’ telah dikendalikan oleh Dr Eugene Koh Boon Yau, dimana beliau telah memberikan satu pendedahan yang baru kepada peserta bengkel seramai 30 orang. Perkongsian dalam bengkel tersebut betujuan untuk menekankan berkaitan sokongan psikososial yang dapat diberikan kepada rakan-rakan yang menghadapi masalah kesihatan mental. Tetapi, sebelum masuk ke dalam kemahiran tersebut, penceramah menekankan dahulu intipati yang berkonsepkan cara pelajar ingin mengatasi masalah kesihatan mental mereka yang tersendiri bermula dari dalam. Satu ketahanan yang kuat dalam diri pelajar diperlukan untuk mereka mampu mengawal emosi dan ketahanan mental mereka dan sejurus itu barulah mereka ini dapat membantu rakan-rakan yang lain. Hal ini kerana, tanpa ketahanan mental yang kuat dan ilmu yang secukupnya pasti sukar untuk kita membantu yang lain.

Secara kesimpulannya, sepanjang seminggu program Mental Health Awareness Week ini berlangsung, telah banyak ilmu dan pendedahan berkaitan kesihatan mental dapat diterapkan dalam diri para pelajar. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga segala intipati dan manfaat dapat pelajar perolehi melalui program kesedaran ini dan mampu membuang stigma negatif berkaitan isu kesihatan mental secara kesuluruhannya dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia.

 

Date of Input: 08/04/2022 | Updated: 08/04/2022 | s_syazana

MEDIA SHARING

TAN SRI MUSTAFFA BABJEE COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1315
03 - 8947 2757
WXFUJA1~